NUR Aisyah bakal berlepas ke Belgium pada 25 Mei ini sebagai persiapan menjelang Paris 2024. FOTO MOHD AMIN JALIL
NUR Aisyah bakal berlepas ke Belgium pada 25 Mei ini sebagai persiapan menjelang Paris 2024. FOTO MOHD AMIN JALIL
Mohd Amin Jalil


Nilai: Pelumba wanita acara berbasikal lebuh raya negara, Nur Aisyah Mohamad Zubir mengakui bersedia memulakan fasa terakhir persiapannya dengan berlatih di Belgium bagi menghadapi Sukan Olimpik Paris 2024, Julai depan.

Pelumba kelahiran Terengganu berusia 26 tahun itu berkata, dia sangat teruja untuk berlatih di Belgium bermula minggu depan, yang diharapkan akan mampu membantunya meningkatkan lagi tahap prestasi sebelum bersaing di Paris 2024.

"Tak sabar rasanya untuk memulakan latihan di Belgium kerana ia kali pertama, selama ini hanya lihat di televisyen dan saya hanya berlatih atau berlumba di negara Asia atau Asean seperti Vietnam, Thailand dan beberapa negara lain.

"Untuk itu, saya amat mengharapkan latihan di Belgium kerana nak rasa suasana latihan dan perlumbaan di sana.

"Perlumbaan di sana banyak guna kekuatan tinggi, jadi saya perlukan suasana sebegitu untuk bantu tingkatkan prestasi.

"Saya perlu dapatkan beberapa elemen lain yang boleh membantu dalam perlumbaan seperti soal ketahanan, kelajuan, teknik perlumbaan dan tempo kerana saya perlu buktikan tahap kemampuan sebenar sebelum bersaing di Paris nanti," katanya ketika ditemui di Velodrom Nasional, petang ini.

Nur Aisyah tampil mewakili Terengganu di Kejohanan Trek Kebangsaan 2024 yang berlangsung di Velodrom Nasional, bermula hari ini hingga Khamis ini.

Nur Aisyah mengakui persiapan latihannya setakat ini berjalan lancar selepas menerima basikal baharu sumbangan Tan Sri Mokhzani Mahathir dan Cheah Ing Shern serta kelengkapan baharu lain daripada Majlis Sukan Negara (MSN), baru-baru ini.

Dia bersyukur menerima kemudahan peralatan canggih yang diperlukan itu sebelum bertolak ke Belgium bagi mengikuti kem latihan terakhir.

"Saya berterima kasih kerana memang memerlukan benda (peralatan/kelengkapan) itu berikutan bukan mudah untuk bersaing dengan pelumba terbaik dunia yang hebat.

"Saya belum mahu menetapkan sasaran lebih tinggi kecuali mahu berada dalam kelompok hadapan ketika bersaing di Paris 2024 nanti," katanya.

Nur Aisyah dijadual berlepas ke Belgium pada 25 Mei ini sebagai persiapan terakhir sebelum temasya Paris 2024 membuka tirainya secara rasmi 26 Julai nanti.

Nur Aisyah yang pernah meraih dua pingat perak menerusi acara lepas beramai-ramai individu dan berpasukan (lebuh raya) dan satu gangsa dalam acara kriterium di Sukan Sea Vietnam 2021 dijadual menyertai kira-kira 20 kejohanan pemanas badan di sekitar Eropah sebelum Paris 2024.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2024 @ 10:02 PM