MURID mengalami keracunan makanan di SK Bandar Puteri Jaya sedang dirawat. FOTO Ihsan Pembaca
MURID mengalami keracunan makanan di SK Bandar Puteri Jaya sedang dirawat. FOTO Ihsan Pembaca
Zuliaty Zulkiffli


Sungai Petani: Kira-kira 65 orang murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Puteri Jaya di sini terpaksa menerima rawatan selepas disyaki keracunan makanan di kantin sekolah itu, hari ini.

Difahamkan, kesemua murid Tahun 4, 5 dan 6 itu dikatakan mengalami gejala sakit perut, muntah dan cirit selepas makan kuetiau sup yang dibeli di kantin sekolah berkenaan pada waktu rehat.

Yang Dipertua Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) sekolah terbabit, Zubir Othman berkata, pihak sekolah menghubungi talian kecemasan selepas ramai murid mula sakit perut dan cirit birit kira-kira 12 tengah hari.

Katanya, pihak sekolah mengambil langkah segera dengan membawa semua murid yang mengalami gejala mendapatkan rawatan awal.

"Semua murid terbabit ditempatkan di dalam bilik darjah dan dirawat oleh kakitangan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Muda.

"Tujuh murid kemudian dihantar untuk rawatan lanjut di Zon Kuning HSAH dan dilaporkan dalam keadaan stabil," katanya di sini hari ini.

Zubir berkata, kantin sekolah itu diarahkan ditutup sementara selama tiga hari bermula hari ini bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan.

Menurutnya, sekolah itu mempunyai dua sesi dengan murid tahun 4, 5 dan 6 pada sesi pagi manakala murid tahun 1, 2 dan 3 sesi petang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2024 @ 10:18 PM