GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Dua individu termasuk seorang penjawat awam ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah kerana disyaki mengemukakan tuntutan mengandungi butir mantan palsu.

Ia bagi tujuan pembelian peralatan persekolahan di negeri ini bernilai kira-kira RM10,000, sedangkan pembelian berkenaan tidak dilaksanakan.

Kedua-dua suspek wanita dan lelaki berusia lingkungan 40 dan 50 tahun itu ditahan kira-kira jam 10 pagi di pejabat SPRM Sabah ketika diminta hadir memberi keterangan.

Sumber berkata, kedua-dua suspek dipercayai melakukan perbuatan itu pada Disember 2018.

"Individu wanita dipercayai pemilik syarikat mengemukakan tuntutan palsu melalui invois-invois dan diperakui penerimaan oleh pegawai di institusi pendidikan berkenaan," katanya, hari ini.

Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan kedua-dua suspek terbabit.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 471 dan 107 Kanun Keseksaan.

"Esok suspek dijangka dituduh di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2024 @ 9:01 PM