HAVAL H1 diberi nafas segar dengan rekaan lebih eksklusif.
HAVAL H1 diberi nafas segar dengan rekaan lebih eksklusif.
Mohd Razlan Salleh


Selepas berjaya menembusi pasaran kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak tempatan, Haval M4 kini berwajah baharu dengan beberapa perubahan kosmetik selain turut dikenali sebagai Haval H1.

Pertukaran nama dilakukan sebagai langkah strategik penjenamaan semula Haval daripada Great Wall Motors (GWM) selaku pengeluar SUV terkemuka China yang mahu menguasai pasaran antarabangsa terutama ASEAN.

Ketua Pegawai Eksekutif Go Auto Sales Sdn Bhd, Ahmad Azam Sulaiman berkata, penjenamaan semula Haval M4 mampu mengukuhkan jenama Haval di pasaran tempatan.

“Kami mahu kekal dengan satu nama iaitu Haval dan dikenali ramai. Selepas ini, semua model yang diperkenalkan akan menggunakan nama Haval.

“Malah, model H1 dan H2 turut menerima pengiktirafan EEV daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI),” katanya.

Terdahulu, Haval adalah singkatan daripada ‘Have All’ yang bermaksud ‘Semuanya Ada’. Tidak setakat menawarkan harga mampu milik, semua kenderaan Haval dipadankan dengan ciri dan teknologi terkini.

Haval H1 tidak lagi menawarkan varian manual, sebaliknya tampil dengan tiga varian automatik antaranya Comfort, Premium dan Elite. Berbanding M4, antara pembaharuan ditampilkan termasuk jeriji krom lebih sporty dan penampilan logo Haval pada stereng, but dan tempat duduk.

Haval H1 dijual pada harga RM60,017 bagi varian Comfort, RM65,852 (Premium) dan varian Elite berharga RM72,659. Sebanyak enam pilihan warna ditawarkan, putih, perak, hitam, biru, merah dan oren.

Dalam pada itu, bermula 1 Januari lalu, HAVAL juga memperkenalkan ‘Buy Back Guarantee’ dengan tawaran jaminan 50 peratus nilai kenderaan dalam tempoh lima tahun. Ini bermakna Haval akan membeli semula pada harga 50 peratus daripada harga jualan sekiranya pemilik menjual kenderaan dalam tempoh lima tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 January 2017 @ 5:02 AM