AHMAD Azam (kanan) pada pelancaran M4 Elite.
AHMAD Azam (kanan) pada pelancaran M4 Elite.
myMetro

Shah Alam: Haval Malaysia menerusi Go Auto Sales Sdn Bhd pengedar eksklusif dan pemasang kenderaan Haval untuk pasaran Asia Tenggara menyasarkan jualan sebanyak 1,500 unit di negara ini bagi model varian terbaharu Haval M4 Elite.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Azam Sulaiman berkata, model pemasangan tempatan (CKD) di kilang Gurun, Kedah itu dijana dengan enjin 1.5 liter VVT MPI empat silinder mampu menghasilkan 150 kuasa kuda pada 6000 rpm yang ditambah baik dengan beberapa aksesori luaran dan dalaman terkini.

“Antara ciri varian Elite ini termasuk lampu hadapan baru dengan nyalaan siang dan rekaan jeriji bentuk heksagon untuk gaya urban,” katanya selepas majlis pelancarannya di sini.

Beliau berkata, pembeli model itu yang dijual pada harga atas jalan termasuk insurans RM74,950 bakal menikmati waranti pengeluar selama tujuh tahun dengan perbatuan tanpa had mulai Februari ini.

Haval adalah jenama SUV dari China dengan jualan tertinggi selama 11 tahun di sana dan berada di Malaysia sejak dua tahun lalu.

Pada 2014, sebanyak 66 unit model M4 didaftarkan manakala pada tahun lalu meningkat kepada 1,534 unit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Februari 2016 @ 5:05 AM