PEMAIN dan pegawai pasukan Iran bertafakur seminit sebelum menentang Arab Saudi. FOTO BERNAMA
PEMAIN dan pegawai pasukan Iran bertafakur seminit sebelum menentang Arab Saudi. FOTO BERNAMA
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Penonton, pemain serta pegawai perlawanan bertafakur selama seminit bagi memperingati mangsa nahas helikopter yang mengorbankan Presiden Iran, Ebrahim Raisi sebelum perlawanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 di Stadium Titiwangsa, sebentar tadi.

Pemain regu Iran, Sasan Maleknezhad meluahkan perasaan dukacita selepas mendengar khabar yang menyedihkan seluruh rakyat di negara itu.

"Saya mengetahui berita memilukan itu selepas bangun pagi tadi. Saya sangat sedih, tetapi kami mempunyai kejohanan di sini," katanya.

Tambah Sasan, Iran yang bermain dalam Division 1 Piala Dunia Sepak Takraw 2024 akan memastikan mereka akan berjuang sehabis baik dan tidak akan membiarkan perkara itu mengganggu momentum kemenangan pasukan.

Katanya, mereka akan meneruskan momentum kemenangan di suku akhir dan mara lebih jauh di Piala Dunia itu.

"Saya mempunyai keyakinan dan merasakan kami boleh memenangi pingat emas dalam kejohanan ini. Kami akan meneruskan perjuangan di kejohanan ini ,"katanya.

Terdahulu, media melaporkan sebuah helikopter membawa Presiden Iran, Ebrahim Raisi dan menteri luar Iran, Hossein Amir-Abdollahian terlibat dalam nahas sehingga mengorbankan semua mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2024 @ 8:13 PM