SITI Rosminah.
SITI Rosminah.
Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Aktivis dan pengarah teater disegani, Dr Siti Rosminah Tahir, 65, meninggal dunia di kediamannya di Keramat, di sini, petang semalam.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menerusi Instagram mengucapkan takziah atas pemergian aktivis teater terbabit.

Terdahulu, arwah Siti Rosminah difahamkan menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Keramat di sini dan jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di kampung halaman di Muar, Johor.

Fahmi berkata, Allahyarham pernah menjadi inspirasi kepada dirinya ketika bergiat aktif dalam bidang teater dulu.

"Berdukacita atas pemergian Rosminah Tahir, aktivis teater ternama tanah air.

"Allahyarham merupakan antara sumber inspirasi buat saya sebagai anak muda yang bergiat dalam bidanh teater tidak lama dulu.

"Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan menempatkannya dalam kalangan orang-orang beriman dan beramal soleh. Takziah buat seluruh ahli keluarga," tulisnya.

Allahyarham baru saja meraikan ulang tahun kelahiran yang ke-65 pada 13 Mei lalu dan dia waktu itu dikatakan nampak sihat.

Sementara itu, sahabat baik yang juga penerbit teater, Siti Rohaya Attan kepada berkata, kali terakhir mereka berhubung kira-kira tiga hari lalu. Malah, Allahyarham sempat menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri anjurannya, baru-baru ini.

"Ketika datang ke rumah, arwah tampak sihat," katanya.

Allahyarham pernah dilantik Ketua Jabatan Teater, Akademi Seni Budaya dan Warisan Negara (Aswara).

Pada 6 hingga 8 Oktober tahun lalu, Allahyarham mengarahkan semula teater Lantai T Pinkie yang dipentaskan di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini, selepas 17 tahun.

Allahyarham juga pernah mengarah teater berskala mega seperti Di Bawah Lindungan Kaabah, Muzikal Tun Mahathir, Muzikal Ibu Zain, Nyonya, Li Po; Mak Dara Nyonya dan Anugerah.

Difahamkan, jenazah dibawa ke kampung halamannya di Muar, Johor, untuk dikebumikan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2024 @ 9:25 PM