MUHAMMAD Furqan Naufal Mohd Zaidi bersama diari bapanya dan catatan yang ditulis bapanya. FOTO Ihsan Muhammad Furqan Naufal Mohd Zaidi
MUHAMMAD Furqan Naufal Mohd Zaidi bersama diari bapanya dan catatan yang ditulis bapanya. FOTO Ihsan Muhammad Furqan Naufal Mohd Zaidi
Redzuan Muharam


Hulu Selangor: "Sebak, sedih, sayu… semuanya ada waktu baca coretan abah dalam diarinya kerana teringat apa dia lakukan buat saya waktu kecil dahulu," kata Muhammad Furqan Naufal Mohd Zaidi.

Kisah Muhammad Furqan Naufal, 18, mendapat perhatian di TikTok selepas berkongsi isi hati bapanya, Mohd Zaidi Saarif, 52, yang ditulis dalam sebuah diari.

Diari itu yang sudah berusia 18 tahun menceritakan rutin harian Muhammad Furqan Naufal selepas dilahirkan.

Muhammad Furqan Naufal yang juga anak sulung daripada tujuh beradik itu berkata, dia tahu mengenai coretan bapanya dalam diari berkenaan sejak berusia sembilan tahun.

"Saya tahu mengenai diari itu kerana abah pernah cerita cuma waktu kecil dulu sekadar belek saja dan baca pun tanpa ada perasaan.

"Tapi apabila sudah besar, baru saya faham dan tersentuh hati apabila baca kerana banyak yang tulis mengenai saya sejak lahir hingga dapat adik (anak kedua).

"Saya tak menangis tapi berkaca juga mata waktu membacanya.. semua bahagian buat saya terharu cuma paling tersentuh adalah membaca coretan pertama abah yang menyatakan dia dan ibu (panggilan untuk ibu saudara) orang pertama melihat saya.

"Saya faham perasaan abah kerana empat tahun dia dan umi tunggu saya… ditakdirkan saya pula lahir pada hari ulang tahun perkahwinan mereka," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurutnya, sehingga kini, dia rapat dengan bapanya malah hubungan mereka berdua seperti sahabat baik.

Katanya, bapanya juga seorang yang 'sporting', boleh diajak bergurau dan melawak selain tidak kisah main sama dengannya serta adik beradik waktu kecil dahulu.

"Tapi dalam bergurau, ada masanya abah garang dan tegas... walau macam mana rapat dengan abah tapi tetap ada batasnya kerana perlu menghormati abah.

"Terlalu banyak kenangan dengan abah tapi yang tak dapat saya lupakan adalah selepas dapat 8A dalam peperiksaan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK).

"Boleh nampak abah sedih dalam kegembiraan waktu itu dan abah tanya apa saya mahukan kerana sudah berjanji nak beri hadiah jika dapat keputusan cemerlang.

"Waktu itu, saya minta kad Pokemon dan abah tunaikan permintaan itu," katanya.

Berhubung perkongsian di TikTok, Muhammad Furqan Naufal sekadar mahu menyimpan kenangan bersama bapanya di TikTok.

"Sebelum ini, saya terdetik hati nak cari semula diari itu sebab abah simpan dan jumpa dalam laci simpanannya.

"Selepas jumpa, saya belek semula dan baca satu persatu serta masih tersentuh waktu membacanya.

"Saja kongsi di TikTok, tak sangka pun akan tular dan selain simpan buat kenangan, niat saya adalah beri inspirasi kepada ibu bapa di luar sana untuk tulis atau rakam detik bersama anak mereka supaya dapat dilihat semula nanti," katanya.

Jauh di sudut hati, Muhammad Furqan Naufal bersyukur kerana masih ada ibu dan bapa jadi mahu berusaha membanggakan serta beri kesenangan buat keduanya.

"Saya nak belajar rajin-rajin kemudian dapatkan kerja supaya nanti dapat bahagiakan abah dan umi.

"Jika ada rezeki, saya mahu bawa abah dan umi ke Tanah Suci serta melancong ke luar negara kerana mereka pernah nyatakan hasrat nak berjalan luar Malaysia.

"Diharap impian itu tercapai. Saya doakan abah terus sihat tubuh badan, dimurahkan rezeki dan walau apa pun, abang long (nama ganti diri) tetap anak abah serta sayang abah sampai syurga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2024 @ 10:02 PM