AFP

Hong Kong: Polis memburu seorang gadis berusia antara 13 dan 14 tahun berhubung kehilangan kalung berlian 100 karat bernilai HK$36 juta (RM16.7 juta) dari sebuah kedai barang kemas mewah.

Menurut polis, gadis terbabit dipercayai dibantu dua wanita dan lelaki berusia antara 30 dan 40 tahun.

Jurucakap polis semalam berkata, modus operandi pencuri itu ialah, suspek dewasa berlakon sebagai pelanggan mengunjungi kedai berkenaan dan berpura-pura berminat membeli barang kemas di situ.

“Tanpa disyaki, gadis itu akan bertindak mencuri barang kemas dan mereka akan meninggalkan premis berkenaan sejurus selepas itu,” katanya.

Dalam kejadian itu, kata jurucakap polis, gadis terbabit terlebih dulu mencuri kunci kabinet dari laci ketika ketika perhatian pekerja di situ dialihkan kepada pasangan lelaki dan wanita berkenaan.

“Taktik itu hanya disedari selepas polis memeriksa rakaman kamera litar tertutup di kedai yang terletak di Tsim Sha Tsui itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Berdasarkan rakaman berkenaan, pencuri terbabit dilihat berlegar-legar berhampiran kedai barang kemas itu selama hampir setengah jam.

Namun, kehilangan rantai bertatah lebih 30 berlian berkenaan hanya disedari sehari kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 January 2015 @ 7:50 AM