Brighton: Polis di bandar ini dilaporkan menanti seorang lelaki membuang air besar untuk mendapatkan semula cincin berlian yang ditelannya.

Lelaki itu sebelum ini ditangkap kerana disyaki mencuri cincin berharga £9,000 (RM50,000) dengan menelannya di sebuah kedai barang kemas.

Rayhanur Choudhury, 22, dipercayai bertindak menelan cincin emas putih 18 karat itu selepas dua rakannya membantu mengalihkan perhatian pekerja kedai terbabit.

Bercakap mengenai langkah seterusnya, jurucakap polis berkata: “Kami kini menunggu cincin berkenaan keluar melalui sistem kumuhan suspek.

“Ujian X-ray tidak menunjukkan imej cincin berkenaan, tetapi kami yakin ia berada dalam perutnya dan menunggu dia membuang air besar.”

Rakaman kamera litar tertutup kedai itu menunjukkan Choudhury memasukkan sesuatu ke dalam mulutnya sebelum menelannya.

Mahkamah akan menetapkan tarikh perbicaraannya hari ini. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Disember 2014 @ 5:12 AM