MERCEDES-Benz E 300 BlueTec Hybrid.
MERCEDES-Benz E 300 BlueTec Hybrid.
Oleh Erywan Norshal


Memandu sejauh 1,968 kilometer dengan satu tangki penuh bahan api cukup membuktikan kehebatan Mercedes-Benz E 300 BlueTec Hybrid.

Ia dilakukan dalam Cabaran Afrika ke United Kingdom tahun lalu, sekali gus dinobatkan sebagai kenderaan sedan mewah paling menjimatkan bahan api di dunia.

Selain jimat minyak, ia boleh dianggap murah berbanding varian lain selepas jentera berkenaan dipasang secara tempatan di kilang Mercedes-Benz Malaysia (MBM) di Pekan, Pahang sekali gus layak menerima pelepasan cukai dan dijual pada harga RM348,888 di atas jalan tidak termasuk insurans.

Ia menggunakan enjin empat silinder diesel yang menyalurkan 204 hp dengan tork setinggi 500Nm serta dipadankan transmisi tujuh kelajuan 7G-Tronic Plus.

Pada masa sama, ia digabung­kan dengan motor elektrik yang menambahkan lagi kuasa maksimum 20kW dan tork mencecah 250 Nm. Gabungan antara rang­kaian kuasa dan motor elektrik itu mejadikan model itu mampu mencatatkan penggunaan bahan api 4.1 liter bagi setiap 100 kilometer (km).

Model terbaru itu turut dileng­kapi akses bebas tangan dan kamera keliling 360 darjah, selain didatangkan dengan sistem multimedia dalam talian Command bagi E-Class.

Mercedes-Benz E 300 BlueTec Hybrid turut dilengkapi pakej AMG Sports membabitkan rim aloi lima bilah berkembar 18 inci, selain padanan kit badan, brek cakera bersaiz besar dan sistem ekzos kembar.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MBM, Roland S Folger berkata, model itu adalah kesinambungan terhadap strategi kenderaan hibrid syarikatnya yang agresif.

"Ia adalah model hibrid diesel pertama yang ditawarkan dan menandakan bahawa enjin diesel Mercedes-Benz kembali ditawarkan di pasaran Malaysia.

"Kami sudah melabur dalam jumlah yang banyak untuk memasang satu lagi varian hibrid di Malaysia, malah berbangga kerana dapat menyumbangkan ke arah cita-cita Malaysia untuk menjadi hub kenderaan cekap tenaga (EEV) di rantau ini," kata­nya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 January 2015 @ 6:04 AM