MERCEDES-BENZ C200 Coupe.
MERCEDES-BENZ C200 Coupe.
PERUMAH lampu belakang yang elegan.
PERUMAH lampu belakang yang elegan.
LAMPU gaya terkini.
LAMPU gaya terkini.
ENJIN mantap dengan transmisi tujuh kelajuan.
ENJIN mantap dengan transmisi tujuh kelajuan.
RIM besar AMG.
RIM besar AMG.
RUANG kokpit yang kemas.
RUANG kokpit yang kemas.
PEDAL pertukaran gear di belakang stereng.
PEDAL pertukaran gear di belakang stereng.
RUANG tempat duduk belakang.
RUANG tempat duduk belakang.
Erywan Norshal


Bagi segmen sedan premium, Mercedes-Benz C-Class bagi generasi baharu mempunyai karakter menarik mendahului pesaing lain terutama reka bentuknya.

Rekaan terkini itu memberi kesan positif dalam merangsang jualan bagi pasaran negara ini.

Ketika era kegemilangan pengeluar automotif Jerman itu berada di kemuncak, kini muncul pula kenderaan baharu menerusi Mercedes-Benz C-Class Coupe yang dilancarkan pada minggu lalu dengan tiga varian membabitkan C200 Coupe, C250 Coupe dan C300 Coupe.

Sebelum pelancarannya, penulis diberi peluang oleh Mercedes-Benz Malaysia menguji C 200 Coupe dan ia adalah varian paling rendah dalam rangkaiannya.

Rekaan coupe sangat sporty dan jika dilihat pada sisi, ia kelihatan sangat rendah apabila menghampiri pada bahagian belakang.

Bagi membezakan dengan sedan, suspensi model coupe ini direndahkan sehingga 15 milimeter dengan dipadankan rim AMG 18 inci supaya lebih bergaya.

Selain itu, ia diserikan dengan jeriji berbentuk berlian serta bonet panjang pada hadapan untuk memberi imej garang, selain kelihatan bentuk moden.

Pada bahagian belakang pula, rekaan lampunya mengingatkan penulis seakan-akan kenderaan utiliti sukan (SUV) Mercedes-Benz GLE-Class Coupe yang mempunyai garisan melintang dan sangat menarik jika dilihat pada malam.

Bagi kenderaan coupe, bumbungnya mungkin rendah dan bakal menyeksakan penumpang atau pemandu tinggi. Namun, model ini dicipta untuk mengatasi masalah itu kerana penumpang serta pemandu tinggi boleh duduk dengan posisi yang selesa.

Keselesaan itu juga boleh dirasai bagi penumpang belakang, tetapi kedudukan kerusinya yang menegak rasanya kurang sesuai untuk pemanduan jarak jauh.

Ruang dalamannya, ia masih menerapkan kelihatan seperti generasi Mercedes-Benz lain yang kekal mewah, tetapi suasananya ditingkatkan dengan menampilkan gaya berbeza.

Penulis tertarik dengan gabungan warna coklat pada kokpit diperkemaskan dengan material aluminium, serta kerusi direka khas untuk posisi sporty tetapi selesa.

Bagi gaya pemanduan dan pengendalian, sangat mengagumkan. Cuma pada awal pemanduan sedikit kekok kerana bonet terlalu panjang, tetapi pengesan parkir hadapan banyak membantu untuk mengatasi masalah itu.

Sistem suspensinya memberi keselesaan optimum, tetapi masih menawarkan pengendalian lebih stabil ketika kelajuan tinggi atau ‘meratah’ jalan berselekoh.

Prestasinya, Mercedes-Benz C 200 Coupe berkongsi enjin sama dengan dua varian lain, namun menyalurkan kuasa maksimum yang berbeza dan boleh dikatakan paling rendah dalam keluarga berkenaan.

Bagaimanapun, kuasa maksimum ditawarkan sehingga 184hp dengan tork setinggi 300Nm sudah cukup membawa beban jentera ini yang mencecah 2,005 kilogram.

Selain itu, kuasa dihantar ke transmisi termaju Mercedes-Benz menerusi tujuh kelajuan automatik 7G-Tronic Plus.

Seperti model Mercedes-Benz lain, jentera ini dilengkapi lima mod pemanduan membabitkan ‘Eco’, ‘Comfort’, ‘Sport’, ‘Sport +’ dan ‘Individual’.

Namun sepanjang menguji jentera ini, penulis selesa menggunakan mod ‘Comfort’ kerana lebih mementingkan tahap penggunaan bahan api serta sesuai pemanduan yang bersahaja.

Jika mahu memecut pun, mod ‘Comfort’ masih menawarkan prestasi terbaik dan teruji ketika memandu di laluan lurus bagi memecut sehingga 200 kilometer sejam (km/j). Jika dalam spesifikasinya, jentera ini boleh memecut sehingga 235 km/j.

Secara keseluruhan, jentera ini seharusnya ada dalam senarai sekiranya mahu memiliki jentera berprestasi dengan bentuk coupe, tetapi pada masa sama sesuai untuk pemanduan harian.

INFO

MERCEDES-BENZ C 200 COUPE

- ENJIN: 1991cc

- KUASA MAKSIMUM: 184hp pada 5,500rpm

- TORK MAKSIMUM: 300Nm antara 1,200 sehingga 4,000rpm

- TRANSMISI: 7G-Tronic Plus

- TANGKI BAHAN API: 50 liter

- KELAJUAN MAKSIMUM: 235 km/j

- KELAJUAN 0-100km/j: 7.3 saat

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mei 2016 @ 5:02 AM