ROLAND (kanan) melancarkan Mercedes-Benz E 300 BlueTec Hybrid.
ROLAND (kanan) melancarkan Mercedes-Benz E 300 BlueTec Hybrid.

Kuala Lumpur: Mercedes-Benz Malaysia (MBM) melancarkan kereta hibrid terbarunya menerusi model pemasangan tempatan (CKD), E 300 BlueTec Hybrid, semalam.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Roland S Folger berkata, kereta itu menjadi model pertama kenderaan mewah menggunakan enjin diesel, sekali gus membuka ruang baru untuk pasaran rangkaian kuasa berkenaan di negara ini.

“Mercedes-Benz E 300 BlueTec Hybrid satu daripada strategi kami dalam mengukuhkan pasaran kenderaan mewah serta jimat minyak.

“Kami melaburkan jumlah yang besar melakukan pemasangan tempatan bagi varian berkenaan, selain mahu menyumbang inspirasi Malaysia menjadi hab Kenderaan Cekap Tenaga di rantau ini,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Jentera itu membuka lembaran baru selepas menjadi segmen kenderaan mewah paling jimat minyak di dunia.

Ia menggunakan enjin diesel empat silinder yang menghasilkan kuasa maksimum sehingga 204 kuasa kuda dengan tork setinggi 500 Nm.

Enjin itu digabungkan dengan motor elektrik yang menyalurkan kuasa sehingga 20 kW dan tork sehingga 250 Nm.

Mercedes-Benz E 300 BlueTec Hybrid dijual pada harga RM348,888 tanpa insurans.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 January 2015 @ 5:03 AM