AFP

Brussels: Menteri-menteri Kesatuan Eropah (EU) semalam menggesa perikatan diadakan dengan negara Islam untuk melawan ancaman militan yang semakin meningkat.

Gesaan itu dibuat ketika Eropah kini dalam keadaan berjaga-jaga ekoran serangan di Paris dan serbuan antikeganasan di Belgium.

Dalam pada itu, Belgium mengerahkan anggota tenteranya meronda di luar ibu pejabat EU di Brussels dan bandar lain ketika blok itu memfokuskan cara terbaik menghalang kepulangan penduduknya yang berjuang di Syria dan Iraq.

Perbincangan yang turut dihadiri Setiausaha Agung Liga Arab itu diadakan kurang dua minggu selepas tiga lelaki bersenjata menyerang pejabat akhbar Charlie Hebdo di Paris yang didakwa dilakukan untuk al-Qaeda dan Negara Islam (IS).

Ketua Hal Ehwal Luar EU Federica Mogherini berkata: “Kita memerlukan satu perikatan kerana pengganas dan keganasan menyasarkan kebanyakan Muslim di seluruh dunia.

“Kita perlu mengukuhkan cara kita bekerjasama bukan saja dengan negara-negara Arab malah dalam kalangan kita.

“Ancaman bukan terhad kepada apa yang berlaku di Paris sebaliknya semakin merebak ke seluruh dunia.”

Kebanyakan menteri terbabit akan bermesyuarat lagi hari ini di London serentak dengan perjumpaan yang turut dianjurkan Setiausaha Negara Amerika Syarikat John Kerry dengan 20 negara termasuk dari dunia Arab berhubung ‘usaha bersama untuk melemahkan dan mengalahkan militan IS.’

Seramai 17 orang terbunuh dalam kejadian di Charlie Hebdo dan pasar raya Yahudi, selain seorang polis wanita turut ditembak mati. Dua disyaki militan terbunuh dalam serbuan minggu lalu oleh pihak berkuasa Belgium.

Belgium mengetuai usaha untuk menggariskan langkah yang perlu dilakukan Eropah dalam berdepan ancaman pengganas.

Pertemuan semalam dilihat sebagai langkah awal menjelang persidangan khas untuk menentang keganasan pada 12 Februari depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 January 2015 @ 4:46 AM