POLIS Belgium berkawal di kawasan serangan ke atas seorang polis. -Foto Reuters
POLIS Belgium berkawal di kawasan serangan ke atas seorang polis. -Foto Reuters
Reuters

BRUSSELS: Seorang anggota polis ditikam di Brussels awal hari ini dalam kejadian yang disifatkan akhbar tempatan sebagai serangan militan Islam.

Polis bagaimanapun berkata motif serangan itu masih kurang jelas.

Penyerang itu mencederakan seorang pegawai polis di luar balai polis utama sekitar jam 5.30 pagi (waktu tempatan), kata seorang jurucakap polis. Dia kemudian cedera selepas ditembak seorang pegawai lain, katanya.

Akhbar Belgium, DH memetik satu sumber yang mendakwa terdengar penyerang melaungkan ‘Allahu akbar ‘(Allah maha besar).

“Masih terlalu awal untuk menentukan motif sebenar penyerang. Siasatan sedang dijalankan,” kata jurucakap polis itu.

Pegawai polis dan penyerang itu dibawa ke hospital dan disahkan stabil.

Serangan berlaku ketika Presiden Perancis Emmanuel Macron mengadakan lawatan dua hari ke Belgium.

Belgium masih diletakkan dalam keadaan berwaspada sejak pengebom bunuh diri membunuh 32 orang di lapangan terbang Brussels dan pusat bandar pada tahun 2016.

Tahap ancaman kebangsaan dikurangkan kepada dua daripada tiga pada skala empat mata Januari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 November 2018 @ 6:35 PM