Salah
Salah
Agensi

Paris: Suspek perancang serangan di Paris pada tahun lalu, Salah Abdeslam memberitahu abangnya, dia memutuskan untuk tidak meletupkan dirinya sekali gus mengurangkan jumlah mangsa yang terbunuh.

Menurut stesen televisyen Belgium BFM TV, Mohamed Abdeslam memberitahu, adiknya secara sukarela memilih tidak meletupkan bom yang dibawanya seperti militan Daish yang lain.

Siri serangan bom berani mati dan tembakan di ibu kota Perancis pada November tahun lalu itu menyebabkan 130 orang terbunuh.

“Sekiranya saya meletupkan diri, pasti lagi ramai mangsa yang terbunuh,” kata Salah kepada Mohamed yang melawatnya di sebuah penjara di utara Belgium.

“Nasib baik saya tidak melakukannya,” katanya lagi.

Suspek tunggal serangan nekad itu ditahan di Brussels pada 18 Mac lalu selepas empat bulan menjadi lelaki paling dikehendaki di Eropah.

Salah, 26, yang berperanan sebagai penyelaras logistik memberitahu penyiasat, dia sepatutnya meletupkan diri ketika satu perlawanan bola sepak di stadium Stade de France, tetapi membatalkan rancangannya.

Empat hari selepas ditangkap, ibu kota Belgium itu digegarkan dengan serangan bom di lapangan terbang dan stesen kereta api. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 April 2016 @ 5:03 AM