ANGGOTA SAR mengeluarkan mayat mangsa dari helikopter di Pangkalan Tentera Udara Iskandar
ANGGOTA SAR mengeluarkan mayat mangsa dari helikopter di Pangkalan Tentera Udara Iskandar

Jakarta: Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menemui lima lagi mayat mangsa nahas pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 dalam pencarian yang masuk hari ke-13, semalam.

Memetik portal Kompas.com, Ketua Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (BASARNAS) Bambang Soelistyo berkata, dengan penemuan lima mayat berkenaan menjadikan 48 mayat sudah ditemui oleh pasukan SAR sejak pesawat itu terhempas.

“Sehingga kini, kami sudah menemui 48 mayat mangsa. Kapal MGS Geosurvey menemui dua mayat mangsa di dasar laut yang masih memakai tali pinggang keledar pada kerusi penumpang.

“Bagaimanapun, kami tidak pasti sama ada dua penumpang itu mempunyai kaitan atau tidak. Penemuan dua mayat terbaru itu hasil pasukan penyelam kapal berkenaan yang pada mulanya mengesan objek di dasar laut,” katanya.

Sehingga kini, 48 mayat sudah berjaya ditemui dan berada di tiga lokasi berbeza iaitu 41 mayat di Surabaya, lima di Pangkalan Bun sementara dua lagi berada di dalam Kapal MGS Geosurvey.

Setakat ini 27 mayat dikenal pasti manakala selebihnya dalam proses pengecaman.

Sementara itu, tiga mayat yang ditemui oleh dua kapal milik Jepun, Onami dan Katanami di Selat Karimata, Pangkalan Bun, semalam hanya tinggal tulang.

Ketiga-tiga itu mayat terus dihantar ke Pangkalan Bun menggunakan dua helikopter Seahawk milik Jepun.

Ketika diturunkan dari helikopter, tubuh ketiga-tiga mayat itu hanya tinggal tulang dan hampir keseluruhan daging mayat mereput kerana terlalu lama di dalam air.

Menurut Penyelaras Pasukan Pengecaman Mangsa Bencana (DVI) Dr Hariyanto, hanya seluar panjang yang masih melekat pada tubuh mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 January 2015 @ 5:38 AM