Pangkalan Bun: Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (BASARNAS) akan mengadakan mesyuarat penilaian bagi menentukan sama ada usaha mencari dan penyelamat (SAR) mangsa nahas pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 wajar diteruskan atau dihentikan Selasa depan.

Pengarah Operasi BASARNAS, SB Supriyadi berkata mesyuarat itu dijangka esok dan mungkin turut dihadiri anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR).

“Kita perlu bermesyuarat untuk berbincang sama ada SAR perlu diteruskan atau tidak selepas 27 Januari ini.

“Begitupun, saya tidak pasti sama ada mesyuarat itu nanti hanya membincangkan isu SAR atau menyentuh isu nahas secara khusus kerana ia mungkin dihadiri DPR,” katanya.

Jelas Supriyadi, peralatan untuk mengangkat badan pesawat kini sudah sedia dan hanya bergantung kepada keadaan penyelam serta faktor cuaca.

“Semua peralatan sudah siap. Cuma kita perlu pantau kesesuaian cuaca untuk penyelam turun ke dasar laut,” katanya.

Ketika ini proses pemindahan badan pesawat malang itu sudah masuk hari ke-27 dengan 62 mayat ditemui sekitar lokasi pencarian. - detik.com

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 January 2015 @ 2:29 PM