IMEJ yang dirakam Kenderaan Kawalan Jauh (ROV) kapal Singapura, RSS MV Swift Rescue. FOTO ihsan Tentera Laut Singapura
IMEJ yang dirakam Kenderaan Kawalan Jauh (ROV) kapal Singapura, RSS MV Swift Rescue. FOTO ihsan Tentera Laut Singapura

Pangkalan Bun: Badan SAR Nasional (BASARNAS) Indonesia kini bersiap sedia untuk mengangkat bahagian utama badan pesawat AirAsia Indonesia QZ8501.

Penemuan itu berdasarkan imej yang dirakam Kenderaan Kawalan Jauh (ROV) kapal Singapura, RSS MV Swift Rescue di perairan Selat Karimata, Pangkalan Bun, semalam.

Ketua Basarnas Bambang Supriyadi berkata, langkah pertama adalah pasukan penyelam akan menganggarkan luas dan berat badan pesawat yang sudah tertimbus lumpur itu.

“Sebelum proses mengangkat dilakukan, pasukan penyelam mengikat sekeliling badan pesawat menggunakan tali yang disilangkan.

“Seperti pengangkatan ekor pesawat yang memerlukan dua hari hanya untuk mengikatnya, kita juga berdepan situasi sama untuk mengangkat badan pesawat,” katanya.

Menurutnya, pengangkatan badan pesawat akan dilakukan dengan menggunakan belon apungan dan kren.

“Namun, sebelum proses berkenaan dilakukan, pasukan penyelam bercadang untuk mengambil seberapa banyak mayat yang terperangkap dalam badan pesawat.

“Pertama, mayatnya akan diambil satu demi satu dan dinaikkan ke permukaan sebelum dimasukkan ke dalam beg supaya tidak dibawa arus. Penyelam pula akan silih berganti untuk mempercepatkan proses,” katanya.

Menurut Supriyadi, hasil imej berkenaan mendapati badan pesawat dengan satu sayap dan tidak ada kokpit.

“Penemuan badan pesawat dari jarak ekor kira-kira sekitar 1.7 batu nautika," katanya. - KOMPAS.com

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 January 2015 @ 10:37 AM