Oleh Sofyan Rizal Ishak dan Sri Ayu Kartika Amri

Petaling Jaya: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) menyasarkan jualan kenderaan sebanyak 208,000 unit tahun ini di mana ia adalah peningkatan kira-kira enam peratus berbanding 195,600 unit yang dicatatkan tahun lalu berdasarkan permintaan berterusan bagi barisan model semasanya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Aminar Rashid Salleh berkata pengeluar kereta itu turut mengekalkan kedudukan sebagai jenama automotif kompak pilihan selama sembilan tahun berturut-turut di negara ini.

“Kami akan menawarkan nilai lebih baik dalam perkhidmatan dan produk kepada pelanggan selepas ini serta terus kekal optimistik dapat mencapai sasaran jualan terbabit meskipun dalam keadaan pasaran dan ekonomi yang mencabar,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran model Myvi baru di sini, semalam.

Beliau berkata, permintaan bagi model Axia masih memberansangkan di mana sebanyak 72,000 unit sudah ditempah sejak 15 Ogos hingga 31 Disember tahun lalu dengan 29,100 unit sudah diserahkan kepada pelanggan.

Menurutnya, syarikat yakin Myvi baru itu akan diterima baik dalam kalangan orang ramai dan menjangkakan ia mampu menjana jualan sebanyak 6,000 unit bagi setiap bulan.

“Sejak Myvi dilancarkan pada 2005, lebih 800,000 unit sudah dijual sekali gus menjadikannya model Perodua paling popular dalam sejarah syarikat dan pada tahun lalu sebanyak 82,400 unit telah dijual,” katanya.

Mengulas mengenai Perodua Alza, Aminar berkata model itu adalah kenderaan pelbagai guna (MPV) paling popular daripada aspek jualan tahun lalu dengan jualan 55,300 unit dengan permintaan kenderaan itu masih kukuh.

‘Kami turut menghentikan pengeluaran kenderaan segmen A iaitu model Viva pada Julai tahun lalu dan akan lebih memberi perhatian kepada perniagaan lepas jualan yang menawarkan potensi pertumbuhan lebih baik dalam jangka sederhana dan panjang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 January 2015 @ 5:12 AM