AMINAR (kanan) bersama Zahari ketika sidang media di Langkawi, semalam.
AMINAR (kanan) bersama Zahari ketika sidang media di Langkawi, semalam.
Oleh Badrila Jamlus

Langkawi: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) akan memperkenalkan model sedan yang kini dalam peringkat prototaip membabitkan rekaan luaran, transmisi, enjin dan platform.

Pembinaan yang membabitkan sepenuhnya sentuhan anak tempatan mendapat kerjasama daripada Daihatsu yang juga rakan kongsi teknologinya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Aminar Rashid Salleh berkata, ia bakal menjadi model berkualiti dalam kelasnya kerana memenuhi standard keselamatan tinggi lima bintang NCAP.

“Saya belum dapat menentukan bila model sedan ini dilancarkan sama ada tahun depan dan ada kemungkinan besar menjelang 2017,” katanya dalam taklimat media di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Pegawai Operasi Perodua Sales Sdn Bhd, Zahari Husin.

Beliau berkata, Perodua juga akan mengeksport model popular Axia ke luar negara bermula pada separuh kedua tahun ini.

Katanya, Axia yang mencatatkan jualan purata 9,000 hingga 10,000 unit sebulan ketika ini akan dipasarkan ke enam negara iaitu Indonesia, Singapura, Fiji, Sri Lanka, Mauritius dan Nepal.

Mengenai model Myvi diperkenalkan sejak Mei 2005, Aminar Rashid berkata, Perodua menyasarkan jualan model itu mencecah satu juta unit menjelang 2017 berikutan jualannya ketika ini sudah mencecah 850,000 unit.

Katanya, Myvi menyambut ulang tahunnya yang ke-10 tahun ini dengan purata tempahan 8,000 unit sebulan dan yakin dengan aktiviti promosi dirancang sehingga 2017, sasaran satu juta Myvi mampu dicapai.

Dari segi prestasi jualan, Perodua menjual 74,700 unit kenderaan iaitu 34.8 peratus daripada jumlah anggaran keseluruhan industri iaitu 218,600 unit bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini. Daripada jumlah itu 25,500 unit adalah Myvi.

Sementara itu, Perodua akan melancarkan Myvi Edisi Khas yang hanya dikeluarkan 10 unit sempena ulang tahunnya pada program Myvi Nation, Himpunan Terbesar Myvi di Setia Alam Mall hujung minggu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mei 2015 @ 6:25 AM