DR Aminar Rashid (kanan) pada majlis penyerahan kunci Perodua Bezza kepada pelanggan ke-10,000.
DR Aminar Rashid (kanan) pada majlis penyerahan kunci Perodua Bezza kepada pelanggan ke-10,000.
Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur : Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) terus merekodkan tempahan memberangsangkan sebanyak 25,000 unit bagi model sedan pertamanya, Perodua Bezza sejak model itu dibuka untuk tempahan pada 16 Julai lalu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr Aminar Rashid Salleh berkata, permintaan Bezza begitu baik di mana pada bulan ini, pihaknya menerima hampir 9,000 unit iaitu jumlah sama ketika Axia diperkenalkan.

Beliau berkata, meskipun penjualan Bezza dilihat hanya menjejaskan penjualan Myvi dalam kadar minimum di bawah lima peratus, namun dua model terbabit mempunyai pengikutnya tersendiri mengikut segmen masing-masing termasuk Axia dan Alza.

“Kami mempunyai perancangan tersendiri dalam usaha mengekalkan penjualan Bezza, namun pada masa sama akan berusaha untuk melonjakkan penjualan model lain di Perodua.

“Permintaan adalah mengikut segmen dan ketika ini selain Bezza, model Axia juga masih boleh dianggap sebagai model baru dan sentiasa menjadi perhatian serta permintaan tinggi dalam kalangan pembeli,” katanya selepas majlis penyerahan kunci Perodua Bezza kepada pelanggan ke-10,000 di Perodua Sentral, semalam.

Hadir sama, Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd (Perodua Sales), Dr Zahari Husin serta pemilik ke-10,000 Perodua Bezza, Zetty Aswani Fazwin Mahrol Fazwin.

Aminar berkata, bagi tujuh bulan pertama tahun ini, Perodua menjual sebanyak 112,500 unit kereta di mana ia turut menyumbang sebanyak 35.4 peratus kepada jumlah industri keseluruhan (TIV) sebanyak 317,900 kenderaan.

Katanya, sehingga kini sebanyak 44 peratus jualan Bezza adalah daripada varian 1.3L Advance Version (transmisi automatik), Premium X 1.3L bagi transmisi automatik (43 peratus), 1.0L automatik (sembilan peratus), Premium X 1.3L (transmisi manual) (tiga peratus) dan 1.0L transmisi manual (satu peratus).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Ogos 2016 @ 7:21 AM