Kuala Lumpur: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) menjual 57,200 unit kereta dalam suku pertama tahun ini berakhir 31 Mac 2015, naik 30 peratus berbanding 44,024 unit pada suku sama 2014 berikutan permintaan kukuh terhadap model terbarunya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Aminar Rashid Salleh berkata, Mac mencatatkan jualan bulanan tertinggi bagi syarikat dengan jangkaan bahagian pasaran 34 peratus berdasarkan kepada anggaran jumlah jualan keseluruhan industri sebanyak 65,500 unit pada Mac.

Beliau berkata, prestasi kukuh itu juga disebabkan sebahagiannya oleh permintaan tinggi bagi Axia yang memperoleh lebih 100,000 tempahan sejak ia mula dibuka pada 15 Ogos 2014.

“Kami sudah menyerahkan lebih 60,000 unit Axia pada 31 Mac lalu dan percaya permintaan kukuh pada Mac adalah disebabkan pengguna mahu mendaftarkannya sebelum pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST),” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Katanya, pendapatan selepas jualan PERODUA meningkat sebanyak 14 peratus kepada RM84 juta semasa suku pertama daripada RM73 juta dalam suku sama 2014, disumbang terutamanya daripada perkhidmatan penyenggaraan kenderaan serta operasi kerangka kereta dan cat.

Sementara itu, hasil daripada alat ganti dan aksesori meningkat dua peratus kepada RM61.8 juta pada suku pertama daripada RM61 juta dalam tempoh sama pada 2014.

“PERODUA yakin dalam berhati-hati dapat mencapai sasaran jualannya sebanyak 208,000 unit tahun ini susulan sokongan daripada permintaan berterusan terhadap modelnya serta promosi lain.

“Kami juga menjangka dapat mencapai sasaran hasil RM306 juta daripada perkhidmatan penyenggaraan kenderaan, minyak pelincir, operasi kerangka kereta dan cat, serta RM258.9 juta daripada perniagaan alat ganti dan aksesori,” katanya sambil menambah tahun lalu PERODUA menjual 195,600 kenderaan dan mencatatkan hasil RM303.4 juta bagi operasi selepas jualan, serta RM243.7 juta bagi alat ganti dan aksesori.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 April 2015 @ 7:05 AM