PERODUA Myvi yang baru dilancarkan.
PERODUA Myvi yang baru dilancarkan.

Petaling Jaya: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) menyasarkan jualan sebanyak 6,000 unit sebulan bagi model Myvi baru yang dilengkapi dengan ciri terkini yang dipertingkatkan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Aminar Rashid Salleh berkata, peningkatan ketara yang dimiliki model baru itu adalah kewujudan sensor sudut depan yang membantu pemandu ketika meletak kereta di ruang parkir, cangkuk anti ragut di tempat duduk depan serta pemegang cawan sentap untuk kemudahan penyimpanan.

Katanya, Myvi baru itu juga akan menjadi perangsang untuk Perodua meningkatkan pasaran eksport ke luar negara kerana telah mengikut peraturan beberapa negara pengimport dan setara dengan kereta buatan Eropah.

“Peningkatan ini dilakukan selepas satu kajian terperinci dilakukan bagi membawa nilai lebih baik kepada pelanggan dan hasilnya, kami berjaya meningkatkan nilai kenderaan ini sebanyak RM4,500 melalui penambahan ciri serta penurunan harga,” katanya ada sidang media selepas majlis pelancaran model Myvi baru, semalam.

Menurutnya, Myvi adalah jenama kenderaan Perodua yang mendapat sambutan paling hangat di pasaran dengan jumlah jualan keseluruhan melebihi 800,000 unit sekali gus menjadikan ia jenama paling popular di negara ini.

Aminar Rashid berkata, model Myvi baru itu yang dibahagikan kepada dua segmen iaitu model kategori 1.3 liter dan datang dalam bentuk Standard G (transmisi manual dan auto) serta varian baru dikenali Premium X (transmisi auto saja).

Menurutnya, segmen kedua terdiri daripada model kategori 1.5 liter yang terbahagi kepada Myvi SE 1.5 (transmisi manual dan auto) dan Myvi Advanced Version (transmisi auto saja).

“Kami menawarkan dua warna metalik baru iaitu Electric Blue bagi varian SE dan Advanced serta Cosmic Gold (varian Standard G dan Premium X) di samping warna kegemaran seperti Ozzy Orange, Mystical Purple, Gilltering Silver dan Ivory White,” katanya.

Harga di atas jalan bersama insurans bagi model Myvi baru ini adalah diantara RM41,500 dan RM58,900 untuk pasaran di Semenanjung Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 January 2015 @ 5:12 AM