Sydney: Iran mara ke suku akhir Piala Asia dengan disulami sokongan padu selepas menang 1-0 ke atas Qatar dalam aksi kedua Kumpulan C di Stadium Australia, semalam.

Penyerang Sardar Azmoun menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-52 untuk menggembirakan sebahagian besar 22,672 penyokong yang menyaksikan juara tiga kali itu mara ke kelompok lapan terbaik buat kali keenam berturut-turut.

Qatar yang hadir di kejohanan itu dengan harapan tinggi selepas menang Piala Teluk pada hujung tahun lalu, gagal melakukan percubaan tepat dan kini akan pulang selepas aksi terakhir peringkat kumpulan menentang Bahrain, Isnin ini.

Iran menamatkan separuh masa pertama dengan bertenaga dengan Sardar berpeluang menamatkan kebuntuan pada minit ke-46, tetapi tonjolan kaki kirinya ke arah gol tersasar selepas penjaga gol Qatar, Qasem Burhan gagal menangkap kemas sepakan sudut.

Tetapi pemain berusia 20 tahun itu tidak melakukan kesilapan enam minit kemudian. Selepas menerima bola Ashkan Dejagah di pinggir kotak penalti, dia bijak mengelirukan pertahanan Almahdi Ali Mukhtar sebelum melepaskan bola melepasi Qasem untuk menggegarkan gawang.

Stadium bergemuruh dengan sorakan dan Sardar, satu-satunya pertukaran daripada pasukan yang menewaskan Bahrain 2-0 dalam aksi pembukaan Ahad lalu, berlari ke sudut padang sebelum dikerumuni penyokong. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 January 2015 @ 5:10 AM