AKSI antara Arab Saudi dan Uzbekistan di perlawanan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023. FOTO Ihsan AFC
AKSI antara Arab Saudi dan Uzbekistan di perlawanan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023. FOTO Ihsan AFC
AFP

Doha: Iran, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) muncul juara kumpulan untuk mara ke fasa ketiga kelayakan Asia bagi mencari slot ke Piala Dunia 2022.

Dalam jadual yang sibuk di seluruh Asia, di mana 14 perlawanan berlangsung, Iraq, Oman, China, Vietnam dan Lebanon juga turut mara selepas menjadi antara pasukan terbaik di tempat kedua kumpulan masing-masing.

Syria, Jepun, Korea Selatan dan Australia sudah pun terlebih awal melayakkan diri ke peringkat terakhir penentuan yang menawarkan empat slot ke Piala Dunia tahun depan di Qatar.

Qatar yang muncul juara Kumpulan E, tidak akan beraksi di fasa terakhir selepas mereka sudah layak secara automatik sebagai tuan rumah.

Iran berjaya mengalahkan Iraq 1-0 di Bahrain untuk muncul juara Kumpulan C, manakala UAE mengetepikan Vietnam 3-2 dalam perlawanan terakhir Kumpulan G di Dubai.

Bagi melayakkan diri, kedua-dua Iran dan UAE perlu menumpaskan lawan mereka pada aksi terakhir dan mereka berjaya mencapai sasaran berkenaan.

Sardar Azmoun meletakkan Iran di depan pada minit ke-35 di Stadium Sheikh Ali bin Mohamed al-Khalifa di Muharraq.

Penyerang Zenit Saint Perseburg itu, yang memainkan peranan penting untuk pasukannya sejak aksi kelayakan bersambung, menampan masuk dari jarak dekat hasil hantaran lintang Ehsan Hajsafi.

Sementara itu di Dubai, Vietnam melepaskan kelebihan dua mata di tangga teratas selepas mereka dikalahkan UAE melalui jaringan Ali Salmeen dan Ali Mabkhout pada separuh masa pertama.

Mahmoud Khamis menjadikan kedudukan 3-0 lima minit selepas rehat dan Vietnam dua gol di lewat perlawanan melalui Nguyen Tien Linh dan Tran Minh Vuong namun ia tidak cukup untuk mengekalkan mereka di tangga teratas.

Salman Al Farah menjaringkan dua gol untuk membantu Arab Saudi mengalahkan Uzbekistan 3-0 bagi berada di tangga teratas Kumpulan D.

Ali Al Hassan menambah gol ketiga pada separuh masa kedua bagi membolehkan mereka mengumpul 20 mata daripada lapan perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Jun 2021 @ 8:17 AM