PEMAIN Qatar Almoez Ali meraikan jaringan ketiga Qatar. FOTO Reuters
PEMAIN Qatar Almoez Ali meraikan jaringan ketiga Qatar. FOTO Reuters
Reuters

Doha: Tuan rumah dan juara bertahan Qatar menewaskan Iran 3-2 dalam aksi sengit separuh akhir Piala Asia di Stadium Al Thumama selepas penyerang Almoez Ali menjaringkan gol kemenangan yang membolehkan pasukannya mara ke final menentang Jordan.

Iran membuka tirai jaringan menerusi sepakan gunting Sardar Azmoun yang menerjah gawang pada minit ke-4 tetapi Qatar menyamakan kedudukan hasil rembatan Jassem Gaber yang terkena pemain lawan sebelum melepasi penjaga gol Alireza Beiranvand.

Tuan rumah menjarakkan kedudukan selepas Akram Afif meledak rembatan dalam kotak penalti sejurus sebelum rehat. Namun Alireza Jahanbakhsh menjadikan kedudukan 2-2 hasil sepakan penalti selepas bola terkena pemain tuan rumah.

Ketika kedua-dua pasukan saling mengasak untuk mencari gol ketiga, Ali yang juga penjaring terbanyak 2019 menjaringkan gol kemenangan Qatar apabila melepaskan rembatan ke penjuru gawang manakala harapan Iran untuk mencipta kebangkitan terjejas selepas Shojae Khalilzadeh dibuang padang pada lewat permainan.

Qatar akan memburu gelaran kedua apabila menentang Jordan yang beraksi pada final pertama mereka Sabtu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Februari 2024 @ 1:30 AM