BARISAN pemain Iran meraikan kejayaan mara ke separuh akhir Piala Asia. FOTO AFP
BARISAN pemain Iran meraikan kejayaan mara ke separuh akhir Piala Asia. FOTO AFP
Reuters

Al Rayyan: Iran menyingkirkan juara empat kali, Jepun dengan kemenangan 2-1 dalam pertembungan suku akhir Piala Asia selepas kapten pasukan, Alireza Jahanbakhsh menyempurnakan sepakan penalti pada masa kecederaan di Stadium Education City, hari ini.

Iran tidak pernah menewaskan Jepun dalam tempoh 19 tahun dan kemenangan terbaru itu turut melebarkan rekod tanpa kalah Amir Ghalenoei kepada 16 perlawanan sejak dia mengambil alih tugas selaku jurulatih pada Mac tahun lalu.

Jepun bagaimanapun mendahului menerusi Hidemasa Morita yang melakukan larian melepasi empat pemain pertahanan sebelum menewaskan Alireza Beiranvand untuk menutup mulut penyokong Iran di stadium.

Tetapi Iran menyamakan kedudukan 10 minit memasuki separuh masa kedua menerusi hantaran cantik Sardar Azmoun yang kemudian disempurnakan oleh Mohammad Mohebi.

Jepun menguasai perlawanan pada separuh masa pertama tetapi Iran lebih garang selepas memperoleh gol penyamaan dengan memberi tekanan demi tekanan yang akhirnya membuah hasil.

Pemain Jepun, Ko Itakura gagal mengeluarkan bola dengan kemas pada minit ke-94 dan dia kemudian menjatuhkan Hossein Kanani di dalam kotak penalti sekali gus pengadil pantas menghadiahkan sepakan penalti yang disempurnakan oleh Alireza Jahanbakhsh.

Iran akan mengetahui lawan separuh akhir mereka apabila juara bertahan, Qatar menentang Uzbekistan, hari ini.

Jordan akan menentang Korea Selatan dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Februari 2024 @ 10:03 PM