CARLOS QUEIROZ
CARLOS QUEIROZ
AFP

ABU DHABI: Jurulatih Iran, Carlos Queiroz menyerang pengkritiknya selepas skuad bimbingannya membelasah Yaman 5-0 awal pagi tadi, sekaligus memberi amaran kepada pesaing mereka di Piala Asia bagi edisi kali ini.

Bekas pengendali Real Madrid itu memuji barisan pemainnya selepas memenangi perlawanan pertama Kumpulan D yang dianggap sebagai pencetus semangat untuk melangkah lebih jauh.

Bagaimanapun, emosinya bertukar berang selepas dimaklumkan bekas jurulatih kebangsaan, Branko Ivankovic yang ketika ini membimbing kelab paling popular di Iran, Persepolis lebih memihak kepada jurulatih Iraq, Srecko Katanec sambil mencabar Queiroz menewaskan lawan mereka itu yang diletakkan dalam kumpulan sama. 

“Individu ini pernah menyatakan bola sepak Iran seperti sarkas.

“Ketika 65 hingga 70 juta penduduk di seluruh Iran mendoakan kejayaan pasukan kebangsaan mereka, individu ini menyokong Iraq dan jurulatihnya. Sangat cemerlang dan bijak!,” kata Queiroz merujuk kepada Ivankovic.

Mehdi Taremi menjaringkan dua gol untuk Iran yang sedang berusaha untuk menamatkan kemarau 43 tahun untuk memenangi piala berprestij di Asia itu.  

Iran di depan seawal minit ke-12, menerusi gol sumbangan Taremi yang menyempurnakan bola muntah penjaga gol Yaman, Saud Alsowadi. 

Kapten pasukan, Ashkan Dejagah menambah gol kedua pada minit ke-23, menerusi rembatan rendah sebelum Taremi menambah gol ketiga menerusi tandukan. 

Azmoun menambah gol keempat tujuh minit selepas memasuki babak kedua yang menyaksikan Iran mempamer aksi lebih bersahaja. 

Selepas pemain gantian, Saman Ghoddos menambah gol kelima minit ke-78, barisan pemain Yaman dilihat sudah berputus asa. 

“Kami bernasib baik kerana gol pertama dijaringkan pada awal permainan. Jika anda dapat melakukan perkara sama, ia akan memberikan anda keyakinan dan dapat menguasai perlawanan.

“Kami tidak memberikan peluang kepada Yaman untuk bernafas,” kata Queiroz.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 January 2019 @ 10:21 AM