DHAARMA (kiri) sedia kembali jika ada perubahan.
DHAARMA (kiri) sedia kembali jika ada perubahan.

Kuala Lumpur: Bekas ketua jurulatih skuad hoki negara Muhammad Dhaarma Raj Abdullah tidak berminat kembali ke barisan kejurulatihan skuad kebangsaan sekiranya tiada perubahan dalam kepimpinan sedia ada Konfederasi Hoki Malaysia (MHC).

Dhaarma bagaimanapun berkata, beliau sedia mempertimbangkan pelawaan kembali bersama skuad negara andai berlaku perubahan positif pada pemilihan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk itu yang dijangka berlangsung pertengahan bulan depan.

Pengendali berusia 45 tahun itu berkata, beliau lebih selesa dengan tugasnya ketika ini selaku pengendali sementara dalam mencari bakat bagi pembentukan pasukan untuk menghadapi Piala Dunia Remaja 2020.

“Saya memang masih sayangkan pasukan kebangsaan, tapi untuk kembali semula, saya perlu berfikir dengan sebaik-baiknya.

“Kalau MHC masih diuruskan individu sama, saya rasa lebih baik teruskan kerja sekarang.

“Sama-sama kita saksikan apakah keputusan pada pemilihan baru nanti. Kalau ada pembaharuan, mungkin saya boleh kembali jika khidmat diperlukan,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Ahmad Shapawi Ismail pada pertemuan dengan Naib Presiden MHC Datuk Nur Azmi Ahmad, Isnin lalu memutuskan untuk menstruktur semula barisan kejurulatihan negara selepas berakhir saingan pusingan kedua Liga Hoki Dunia di Singapura dari 17 hingga 25 Januari ini.

Langkah itu, bagi memberikan tugasan lebih jelas kepada setiap jurulatih termasuk Dhaarma yang ketika ini dilihat tidak mempunyai hala tuju selepas direhatkan MHC berikutan pencapaian hambar di beberapa saingan utama tahun lalu.

Dhaarma direhatkan selepas berakhir Sukan Komanwel di Scotland sebelum digantikan dengan Arul Selvaraj yang juga pengendali pasukan remaja negara.

Kontrak Dhaarma selaku jurulatih hanya akan berakhir pada 31 Disember dan sepanjang baki tempoh itu, beliau masih berhak menerima gaji daripada MSN tetapi MHC sudah menamatkan pemberian elaunnya sejak Oktober tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 January 2015 @ 5:03 AM