SKUAD hoki dalam dewan lelaki negara bermula cemerlang. FOTO PERSEKUTUAN HOKI ASIA
SKUAD hoki dalam dewan lelaki negara bermula cemerlang. FOTO PERSEKUTUAN HOKI ASIA
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Skuad hoki dalam dewan lelaki bermula dengan cemerlang di Piala Asia apabila membelasah Oman 10-2 dalam aksi pembukaan Kumpulan B di Taldykorgan, Kazakhstan sebentar tadi.

Menurut ketua jurulatih, Rodzhanizam Mat Radzi, masih ada kesilapan yang dilakukan oleh anak buahnya namun ia cepat diperbaiki dan layk diberi pujian.

"Kemenangan ini juga penting untuk kami menjelang perlawanan seterusnya kerana setiap kelebihan dan kelemahan hari ini akan dijadikan sebagai penanda aras bagi memperbaiki menjelang perlawanan seterusnya," kata bekas pemain kebangsaan itu.

Ujarnya, pertemuan dengan tuan rumah, Kazakhstan esok pastinya satu perlawanan yang bukan mudah berikutan status pasukan berkenaan pernah muncul naib juara sebanyak tiga kali.

"Barisan kejurulatihan akan melakukan analisa sebaik mungkin untuk mempersiapkan pasukan menjelang pertemuan berkenaan. Pengurusan dan barisan kejurulatihan juga berharap pemain dapat bermain dengan baik dan memberikan tentangan yang hebat kepada lawan. Kemenangan pertemuan dengan Kazakhstan amat penting untuk pasukan," katanya.

Pada aksi tadi, Muhammad Najmi Farizal Jazlan meledak hatrik selepas menyudahkan dua penalti strok pada minit ketiga dan 24, selain menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-31.

Kemenangan besar Malaysia yang juga juara bertahan turut dibantu dua gol daripada Abdul Khaliq Hamirin dan Muhammad Aminuddin Mohd Zain.

Muhamad Izham Azhar, Muhammad Ashran Hamsani dan Faridzul Afiq Mohd turut mencetak nama selaku penjaring apabila masing-masing meledak satu gol dalam perlawanan berkenaan.

Dua gol saguhati Oman dijaringkan Asama Barazahan menerusia jaringan padang pada minit ke-18 dan Rashad Al Fazari pula menyudahkan pukulan sudut penalti di hujung saingan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2024 @ 6:26 PM