DHAARMA bakal berhijrah ke sebuah negara Asia Tenggara sebaik liga melabuhkan tirainya pada hujung bulan ini. FOTO Malik Muhamad
DHAARMA bakal berhijrah ke sebuah negara Asia Tenggara sebaik liga melabuhkan tirainya pada hujung bulan ini. FOTO Malik Muhamad
Malik Muhamad


SELEPAS enggan ‘rujuk’ kembali sebagai ketua jurulatih skuad wanita kebangsaan, pengendali Pasukan Hoki Terengganu (THT), Muhammad Dhaarma Raj Abdullah, hampir pasti berkelana ke luar negara sebaik sahaja tamat saingan Liga Hoki Malaysia (MHL), musim ini.

Beliau yang sebelum ini mendedahkan rasa kecewa dengan ‘layanan’ majikannya, Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), menyatakan bakal berhijrah ke sebuah negara Asia Tenggara sebaik liga melabuhkan tirainya pada hujung bulan ini.

Pengendali berpengalaman itu dilaporkan akan berangkat pada Ahad ini untuk menyelesaikan proses akhir sebelum bergelar ketua jurulatih negara jiran terbabit yang begitu berminat untuk mendapatkan khidmatnya yang pernah mengharumkan nama negara ketika membimbing skuad Malaysian Tigress.

Difahamkan Indonesia yang masih lagi belum begitu popular dalam sukan hoki itu menjadi destinasi pilihan jurulatih berusia 51 tahun itu untuk menabur baktinya selepas ini.

Dhaarma berkata, program jangka panjang yang dirangka negara itu menjadi faktor dia menerima tawaran berkenaan walaupun ada beberapa negara lain turut menyatakan minat untuk mendapatkan khidmatnya.

“Kini prosesnya sudah hampir 90 peratus selesai, saya akan muncul secara rasmi di sana (negara berkenaan) pada Isnin ini sebelum kembali pada Selasa bagi menyelesaikan tugasan bersama THT dalam saingan Piala TNB.

“Saya tertarik dengan negara berkenaan kerana visi dan misi pasukan itu yang mempunyai rancangan rapi serta sasaran besar, lagipun saya sudah mengecapi banyak kejayaan dan tiada apa-apa lagi yang perlu saya buktikan lagi di sini kerana sepanjang karier, saya pernah juarai liga lapan tahun berturut-turut selain juara berganda sebanyak lima kali.

“Mengenai pasukan baharu, setakat ini saya belum bersedia lagi untuk mengumumkan negara berkenaan, tapi cukup saya katakan negara yang bakal saya bimbing itu paling dekat dengan kita.

“Tapi sebelum saya pergi, saya mahukan pemain THT lebih bersemangat untuk mempertahankan kejuaraan Piala TNB musim ini kerana trofi itu cukup bermakna apatah lagi boleh dijadikan sebagai hadiah perpisahan,” ujar Dhaarma ketika ditemui selepas skuadnya membelasah pasukan Hockademy KL di Stadium Hoki Batu Buruk Kuala Terengganu, petang semalam.

Sepanjang empat tahun membimbing pasukan wanita kebangsaan sejak hujung tahun 2015, Dhaarma menjadi watak penting kepada kegemilangan skuad itu dan paling cemerlang ketika membantu skuad wanita meraih tempat kedua di Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia 2017 di Kuala Lumpur sekali gus layak kali pertama ke Separuh Akhir Liga Hoki Dunia yang juga kempen kelayakan ke Piala Dunia.

Bagaimanapun Dhaarma menyatakan masih ada ‘talian hayat’ jika ada tawaran baharu daripada THT selepas berakhirnya liga, beliau menyatakan akan memikirkan semula sama ada bakal membimbing pasukan luar negara ataupun kekal bersama THT demi pembangunan sukan itu di Terengganu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Februari 2020 @ 2:52 PM