DHARMA Raj sebelum ini melatih skuad hoki Indonesia. -FOTO NSTP
DHARMA Raj sebelum ini melatih skuad hoki Indonesia. -FOTO NSTP
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Demi keluarga dan masih ada 'urusan' yang belum selesai ia membuatkan bekas pengendali skuad hoki negara, Muhammad Dharma Raj Abdullah rasa terpanggil untuk memohon semula jawatan berkenaan selepas ia diiklankan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC).

Menurutnya, perkara paling utama sebagai rakyat Malaysia beliau memang mempunyai keinginan untuk pulang berbakti di negara sendiri.

"Sudah empat tahun saya di sini (Indonesia) saya juga ingin balik kembali bersama keluarga di Malaysia," katanya ketika dihubungi Arena Metro hari ini.

Ujar, Dharma beliau juga ingin membina pasukan baharu selepas cemerlang ketika membimbing skuad remaja sehingga berjaya mara ke separuh akhir Piala Dunia Remaja 2013.

"Selepas nama saya mula menjadi sebutan di skuad remaja, saya tidak kesampaian mengulangi perkara sama ketika membimbing pasukan senior. Saya rasa seperti diberi peluang perkara yang harus saya buat.

"Ia seperti ada 'urusan' yang belum selesai walaupun jika hendak diikutkan situasi saya di Indonesia sudah cukup baik. Bagaimanapun, saya memohon sahaja jawatan berkenaan tatkala kontrak saya di sini sehingga 2025," katanya.

Ditanya mengenai penerimaan hoki Indonesia selepas beliau berbuat demikian, Dharma berkata, memang ada kesan kerana sudah melebarkan pengaruh di Indonesia.

"Saya meminta izin dengan cara baik, kita tengok situasi nanti bagaimana. Memang bercampu-baur perasaan mereka ada yang pohon jangan tinggalkan Indonesia, ada yang berasa sedih," katanya yang membawa Indonesia memenangi emas hoki dalam dewan lelaki di Sukan Sea Kemboja 2023.

Dharma antara 23 calon ketua jurulatih pasukan kebangsaan hoki Malaysia, yang menghantar permohonan kepada MHC, bersama empat lagi calon tempatan, termasuk A Arul Selvaraj dan Sarjit Singh.

Dharma, 54, pernah menjadi ketua jurulatih skuad lelaki negara pada awal 2014 sebelum direhatkan selepas berakhir saingan Sukan Komanwel Glasgow 2014 dan sebelum ke Indonesia beliau melatih pasukan wanita negara sehingga kontraknya berakhir pada Disember 2019.

Beliau mula bersama pasukan hoki Wilayah Jawa Barat pada 2020 sebelum dilamar pasukan kebangsaan Indonesia pada Mac 2021.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan MHC, Datuk Majid Manjit Abdullah mengesahkan lima calon tempatan termasuk Dharma, Arul dan Sarjit menghantar permohonan sebagai ketua jurulatih.

"Sudah tentu kita gembira menerima 23 permohonan, mendapat sambutan yang baik dan 18 daripadanya jurulatih dari luar negara.

"Permohonan luar negara yang menarik adalah bekas jurulatih kebangsaan India V Baskaran," katanya.

Baskaran adalah bekas kapten pasukan kebangsaan India yang memenangi pingat emas Sukan Olimpik 1980 di Moscow.

Beliau kemudian beberapa kali menjadi ketua jurulatih India yang membawa pasukannya ke Piala Dunia 1998 dan 2006.

Tambah beliau, satu mesyuarat akan dilangsungkan bagi tujuan pemilihan ketua jurulatih itu Selasa depan, dan pihaknya akan mengumumkan lima hingga tujuh calon yang senarai pendek untuk tujuan temuduga.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Februari 2024 @ 6:26 PM