DHAARMA bersama pasukan Jabar di Indonesia.
DHAARMA bersama pasukan Jabar di Indonesia.
Malik Muhamad


BEKAS jurulatih Pasukan Hoki Terengganu (THT), Muhammad Dhaarma Raj Abdullah akui lega selepas beliau negatif daripada dijangkiti virus koronavirus (Covid-19).

Dhaarma yang sudah tamat tempoh kuarantin selama 14 hari pada 8 April lalu di Kuala Lumpur kini meluangkan masa bersama keluarganya di Puncak Jalil tanpa sebarang simptom yang biasa dialami pesakit Covid-19.

Pada 26 Mac lalu, bekas jurulatih skuad hoki wanita kebangsaan itu pulang daripada tugasannya sebagai pengendali pasukan Provinci Jawa Barat (Jabar), Indonesia.

Bagi memastikan beliau bebas daripada sebarang jangkitan wabak pandemik itu, Dhaarma mengambil langkah kuarantin di tempat lain sebelum pulang ke rumahnya kelmarin.

"Berita ini sudah tentu menggembirakan saya dan keluarga selepas bebas daripada sebarang jangkitan Covid-19 kerana tiada tanda dialami berkaitan penyakit itu.

"Lagipun ketika saya menaiki kapal terbang semasa pulang, tiada siapa dalam penerbangan itu didapati positif wabak itu, jadi saya tidak perlu membuat saringan selepas tamat kuarantin.

"Kini saya sudah tinggal bersama keluarga, namun dalam masa sama saya tetap mengamalkan arahan dikeluarkan pihak kerajaan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selain langkah pencegahan dikeluarkan Kementerian Kesihatan," ujar Dhaarma.

Mengulas mengenai tugasannya sebagai pengarah kejurulatihan bersama pasukan baharunya di Bandung, Indonesia, Dhaarma menyatakan akan melihat dahulu situasi semasa sebelum kembali ke negara itu.

"Saya gembira dapat membimbing pasukan Jabar walaupun hanya sempat kira-kira dua minggu sahaja melatih mereka, ditambah pula layanan terbaik diberikan pihak pengurusan dan juga pemain pasukan berkenaan.

"Tapi buat masa ini saya tidak dapat meneruskan latihan seperti biasa berikutan krisis Covid-19 ini, tetapi saya tetap memantau latihan mereka dari rumah. Insya-Allah jika wabak pandemik ini reda, saya akan kembali meneruskan tugasan latihan dengan pasukan berkenaan," ujar Dhaarma yang membantu skuad hoki wanita kebangsaan menjadi antara kuasa besar Asia dalam sukan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 April 2020 @ 11:54 AM