PASUKAN UniKL muncul juara Liga Perdana LHM tahun lalu.
PASUKAN UniKL muncul juara Liga Perdana LHM tahun lalu.
Saiful Affendy Sapran


KETUA jurulatih Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Arul Selvaraj enggan ambil pusing dengan reputasi Muhammad Dhaarma Raj Abdullah yang kini membimbing Pasukan Hoki Terengganu (THT) menjelang pertemuan kedua-dua pasukan pada saingan Piala Sumbangsih, 10 Januari ini.

Dhaarma hadir dengan reputasi gah berjaya meletakkan skuad hoki wanita negara ke satu tahap lebih baik dan kini membimbing THT selepas kontraknya bersama Malaysian Tigress berakhir 31 Disember lalu.

Arul berkata, secara peribadi beliau menghormati keupayaan Dhaarma namun tidak mahu menjadikan ia sebagai alasan untuk pasukannya gagal menewaskan THT pada perebutan Piala Sumbangsih.

"Saya sering beritahu pasukan supaya fokus kepada persiapan sendiri. Dhaarma sememangnya seorang jurulatih yang bagus dan dia berjaya memberi impak kepada skuad hoki wanita.

"Sudah pasti THT memilihnya berdasarkan kepada pencapaian cemerlang itu," katanya. Jelas Arul, kehadiran kembali Dhaarma dalam kancah Liga Hoki Malaysia (LHM) pastinya akan memberi impak positif.

"Saya alu-alukan kehadirannya dan sudah pasti saingan lebih sengit pada musim baru nanti," katanya. Mengulas mengenai perebutan Piala Sumbangsih, Arul tidak mahu barisan pemainnya berasa terlalu tertekan.

"Saya hanya mahu mereka beraksi seperti biasa. Anggap saja perlawanan itu sebagai perlawanan pertama liga untuk memungut mata maksimum," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 January 2020 @ 8:16 PM