Pelakon, Datuk Rosyam Nor. FOTO Hairul Anuar Rahim
Pelakon, Datuk Rosyam Nor. FOTO Hairul Anuar Rahim
Ramlah Zainal

 

Kuala Lumpur: "Kalau hang tak suka belajar, hang jadi pelakon aje! Itu antara kata-kata yang mungkin doa dari seorang guru yang menjadi kenyataan buat saya," kata pelakon berkaliber, Datuk Rosyam Nor, 57, mengimbau kenangan bersama gurunya, Cikgu Halimah, 79, ketika menuntut di tingkatan lima, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pantai.

Kata Rosyam, dia masih ingat apabila dimarahi Cikgu Halimah kerana tidak suka belajar di dalam kelas dulu.

"Saya tak fikir pun akan menjadi seorang pelakon tetapi mungkin kata-kata Cikgu Halimah itu menjadi satu doa buat saya.

"Alhamdulillah, Cikgu Halimah masih sihat dan saya jemput dia hadir pada malam gala ini," katanya ketika ditemui pada malam gala filem Memoir Seorang Guru, malam tadi.

Mengenai zaman persekolahannya lagi, kata Rosyam, walaupun nakal dan agresif, dia dikenali sebagai pelajar yang patuh dan berdisiplin di kalangan guru di sekolah.

"Saya juga menjadi ketua kelas dari Darjah Dua hingga memasuki Tingkatan Lima.

"Selain itu, saya juga mewakili sekolah dalam pertandingan syarahan dan bahas," katanya.

Berkongsi watak Cikgu Sunan pula, kata Rosyam, ia antara watak paling mencabar yang pernah dilakonkan sepanjang tiga dekad dalam bidang lakonan.

Malah, katanya, dia juga meminjam semua 'roh' gurunya dulu untuk menjiwai watak Cikgu Sunan itu.

"Ada cikgu di sekolah saya dulu wataknya sama seperti Cikgu Sunan iaitu Guru Disiplin. Saya juga ada bawa gaya Guru Besar sekolah saya, Cikgu Mokhtar dalam filem ini.

"Watak Cikgu Sunan ini sangat sukar kerana dalamannya sangat kuat dan dari karakter 'mellow', saya kena buat orang merasainya.

"Saya bersyukur kerana dari suku pertama filem ini, air mata saya berlinang kerana dialognya sangat menyentuh hati. Tiada seorang penonton pun dalam pawagam malam ini yang bangun untuk ke tandas sehinggalah filem ini selesai," katanya.

Bagaimanapun, kata Rosyam, filem arahan Kyoll Hamzah itu juga memberi risiko pada kerjaya lakonannya.

"Secara peribadi, saya berasa risau kerana bukan mudah untuk menghidupkan watak Cikgu Sunan yang juga adaptasi dari novel terkenal Allahyarham Azizi Abdullah dan dijadikan bahan pembelajaran di sekolah.

"Jika saya gagal jayakan watak itu dengan baik, karier sebagai pelakon juga akan berakhir kerana filem ini bukan saja boleh lonjakan nama tetapi juga sebaliknya," katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2024 @ 7:16 PM