Muhammad Dhaarma Raj Abdullah. FOTO File NSTP
Muhammad Dhaarma Raj Abdullah. FOTO File NSTP
Malik Muhamad


BEKAS jurulatih Pasukan Hoki Terengganu (THT), Muhammad Dhaarma Raj Abdullah kini hanya perlu melakukan ujian 'rapid test kit' di Indonesia sebelum memulakan kembali tugas selaku pengarah teknikal bersama pasukan baharunya di negara berkenaan, Provinci Jawa Barat (Jabar).

Dhaarma yang tiba di Indonesia mengakui tidak sabar untuk turun membimbing pasukan berkenaan termasuk melatih jurulatih kelab itu selepas lebih empat bulan tidak bersemuka secara langsung kerana pulang ke Malaysia berikutan penularan wabak pandemik Covid-19 yang membimbangkan dunia.

Bagaimanapun bekas pengendali pasukan wanita Malaysia itu menjelaskan beliau tetap melatih dan memantau skuad baharunya itu menerusi video serta dalam talian termasuk mengadakan kursus kepada jurulatih kelab berkenaan bagi memastikan mereka benar-benar mantap.

"Empat pasukan yang berada di bawah kelab berkenaan sudah mula berlatih sejak lebih sebulan lalu, walaupun tanpa kehadiran saya di padang, tapi saya tetap memantau latihan mereka.

"Selepas selesai mengambil sampel darah kerana saya sudah melakukan ujian calitan atau 'swab test' di Malaysia, saya akan turun ke padang untuk memantau latihan pemain selain saya juga perlu membimbing 12 jurulatih kelab berkenaan kesinambungan daripada kursus secara dalam talian," kata bekas pemain kebangsaan itu.

Dhaarma yang pernah membantu skuad hoki wanita kebangsaan menjadi antara kuasa besar Asia sebelum ini hanya sempat melatih kelab dari negara Garuda itu hanya dua minggu sahaja sebelum kembali ke Malaysia kerana ancaman Covid-19.

"Walaupun baharu dua minggu melatih pasukan berkenaan saya begitu gembira bukan hanya layanan yang baik daripada pihak pengurusan, malah komitmen daripada pemain juga begitu tinggi untuk belajar, ini menambah lagi semangat saya untuk mencurah ilmu bersama kelab ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Ogos 2020 @ 2:14 PM