MUHAMMAD DHAARMA RAJ ABDULLAH
MUHAMMAD DHAARMA RAJ ABDULLAH
Naqib Nor Said

KUALA LUMPUR: Skuad hoki wanita negara mampu menarik nafas lega apabila pengendalinya Dhaarma Raj Abdullah disahkan tidak mengalami sebarang masalah kesihatan yang serius selepas dimasukkan ke Pusat Perubatan Subang Jaya sejak Rabu lalu.

Sebelum ini, jurulatih berusia 49 tahun itu dikatakan mungkin akan terlepas temasya Sukan Asia bermula 18 Ogos ini ekoran penyakit misteri yang dialaminya sejak 12 hari lalu sehingga menafikan kelibatnya di padang.

Tetapi semuanya kembali berada pada landasan yang betul apabila doktor mengesahkan pada hari ini bahawa ujian imbasannya menunjukkan keputusan negatif dan kemungkinan dibenarkan keluar hospital esok

“Menerusi keputusan yang dikeluarkan hospital pagi tadi, doktor mengesahkan semuanya normal cuma saya kena menjaga permakanan terutamanya mengurangkan makan makanan pedas yang membawa punca kepada masalah pencernaan dialami saya.

“Kalau tiada apa-apa lagi halangan Isnin saya akan kembali turun padang, saya benar-benar bersemangat untuk terbang ke Sukan Asia bersama pemain pada 15 Ogos ini,” kata Dhaarma.

Dhaarma sebelum ini pernah terlepas tiket ke Sukan Asia Incheon 2014 selepas direhatkan sementara daripada mengemudi skuad hoki lelaki negara.

Malah, sepanjang karier panjangnya sebagai pemain dan jurulatih, Sukan Asia satu-satunya kejohanan yang belum pernah dijejakinya.

Berita baik ini disambut lega barisan pemain negara terutamanya oleh kapten pasukan Siti Noor Amarina Ruhani.

“Sepanjang ketiadaan beliau, latihan dikendalikan jurulatih Lailin Abu Hassan dan Roslan (Jamaluddin), namun beliau tetap memberi input apa yang perlu dilakukan pemain melalui Whatsapp .

“Sebagai pemain memang berasa lega apabila mendapat berita gembira ini, bimbang juga kerana misi di Jakarta begitu penting dan kami amat memerlukan beliau,” kata pertahanan berusia 31 tahun itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Ogos 2018 @ 12:23 AM