YAMAHA DX100 yang sukar ditemui.
YAMAHA DX100 yang sukar ditemui.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Dalam kategori motosikal klasik buatan Yamaha, nama seperti RX-K dan RX-S sememangnya masih boleh dilihat di jalan raya terutama sekitar negara Asia.

Namun, Yamaha terlebih dahulu mengeluarkan jentera bertangki hadapan lebih awal dengan kod nama YB, DX, AT dan sebagainya sebelum RX dilancarkan.

Kali ini, Vroom menemukan jentera dianggap nadir dalam keluarga motosikal klasik yang hampir ‘pupus’ di jalan raya.

Yamaha DX100 adalah jentera klasik berkuasa 100cc dikeluarkan Yamaha Motor Company bermula 1975 hingga 1981. Model ini menjadi pesaing terhebat bersama Suzuki A100 dan Honda S90 pada waktu itu.

Uniknya motosikal milik Azman Abdullah, 45, di Kepala Batas, Pulau Pinang, ini boleh dikatakan satu-satunya motosikal jenis DX100 yang boleh dikategorikan sebagai ‘keluaran kilang’ berikutan kondisinya yang cukup memukau setiap mat motor yang memandang.

Motosikal dibina pada 1980 ini sebenarnya melalui proses restorasi yang menelan belanja lebih

RM 7,000 dan memakan masa hampir dua tahun berikutan kesukaran menemukan pelbagai komponen asal sudah yang berkarat atau hilang.

Menurut pemiliknya, jentera ini dibeli daripada seorang rakan dalam keadaan hanya memiliki kerangka dan enjin asal sahaja. Pelbagai komponen asli sudah dimakan usia dan berkarat berikutan berjemur dan berhujan beberapa tahun.

Yakin jentera ini mampu ‘dijelmakan’ semula, Azman menghantar motosikal itu ke sebuah bengkel rakannya selain mula mencari alat ganti sehingga ke Indonesia dan Thailand. Lepas dua tahun, jentera ini akhirnya menderum semula seolah-olah baru dikeluarkan dari kilang.

Jentera ini masih mengekalkan enjin dua lejang dengan sesaran 100cc berkuasa lapan kuasa kuda.

Dipadankan bersama empat kelajuan, jentera ini masih mampu memecut sehingga 90 km/j.

Sistem brek kedua-dua roda dikekalkan dengan menggunakan drum.

Selain tangki, penyerap hentak asal hadapan dan belakang diganti dengan komponen yang dibeli khas di Thailand dan Indonesia.

Sistem pendawaian juga termasuk klac tangan diganti baru bagi memastikan motosikal ini bergerak lancar dan selesa.

Komponen asal seperti meter kelajuan, ekzos, lampu, emblem, rim dan sebagainya masih berfungsi dengan baik.

Azman yang juga ahli kelab Lone Ranger berkata, dia puas selepas dua tahun menunggu jentera kesayangannya kembali bergerak.

“Saya berpuas hati meskipun kos baik pulih menelan belanja lebih RM7,000,” katanya.

SPESIFIKASI:

YAMAHA DX100 keluaran 1980

- Enjin asal empat kelajuan

- 100cc dan 8hp

- Sistem brek dram

- Tangki tulen

- Meter kelajuan tulen

- Penyerap hentak tulen

- Lampu asal

- Kelab Lone Ranger

- Sistem pendawaian dibaik pulih

- Kos restorasi: RM7,000

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Mei 2017 @ 7:20 AM