TAMPIL unik dan berbeza.
TAMPIL unik dan berbeza.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Yamaha memulakan pembuatan motosikal pertama pada 1955 di mana jentera dua lejang model YA-1 bersesaran 125 cc mula dijual di pasaran Jepun.

Selepas kejayaan motosikal itu menerima perhatian dunia, Yamaha sekali lagi tampil dengan dua lagi model baharu membabitkan YD1 bersesaran 250cc serta MF1 pula dengan kapasiti lebih kecil iaitu 50cc.

Sehingga ke hari ini, jenama Yamaha tidak asing dalam dunia permotoran dan menjadi jenama motosikal yang menerima permintaan di seluruh dunia.

Vroom pada kali ini tidak tertumpu pada jentera terbaru dalam keluarga Yamaha, sebaliknya memilih motosikal klasik iaitu YB 100 milik Daing Saidy Omar, 36, peniaga di Batu Pahat.

Jentera itu dianggap unik berbanding motosikal lain, selain umurnya kini mencecah 43 tahun.

Malah, jentera keluaran 1973 bersesaran 100cc itu tampak berbeza apabila dipadankan pelbagai komponen tambahan daripada motosikal lain.

Lebih mengejutkan apabila ia menerima sentuhan sendiri pemilik tanpa mana-mana bengkel motosikal binaan khas yang ada di negara ini.

Ia tampak unik apabila pemiliknya memotong satu daripada penyerap hentak hadapan untuk menjadikan ia tunggal yang turut dibantu dengan komponen lain untuk menstabilkannya.

Walaupun mengekalkan enjin asal, sedikit pengubahsuaian bahagian dalaman enjin dilakukan termasuk padanan omboh besar untuk menjadikannya lebih berkuasa.

Penggunaan sistem ekzos khas dari Vespa sedikit sebanyak melancarkan pergerakan enjin. Tampil berbeza selepas padanan tayar besar dari motosikal lasak bersaiz 21 inci dengan padanan tayar Kenda.

Bagi sistem brek pula ia menggunakan cakera Yamaha 125Z, pemegangnya menggunakan komponen Yamaha RX-S yang turut dihiasi meter kelajuan model berkenaan.

Tempat duduk dibina secara khas supaya lebih menarik sekali gus menyerlahkan keterampilan. Jentera milik keluarga itu dibina semula dalam tempoh tiga bulan sebelum dipamer di Art Of Speed.

Penampilannya mencuri tumpuan ramai berikutan keadaannya yang unik dan lebih mengejutkan warna pada badan jentera hanya disembur menggunakan cat tin bernilai RM7.

Percaya atau tidak itu adalah hakikatnya, namun lebih memeranjatkan apabila kos ubah suai terbabit tidak sampai RM1,000 berikutan kerja ubah suai itu dilakukan sendiri pemiliknya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Julai 2016 @ 5:36 AM