Medan: Polis semalam menenggelamkan sebuah bot pukat tunda Malaysia kerana didakwa menjalankan aktiviti penangkapan ikan haram di Pulau Pandan baru-baru ini.

Kapal bernombor pendaftaran PKFA 7738 itu diletupkan dengan dinamit di perairan Belawan.

Ketua Polis Sumatera Utara, Eko Hadi turut hadir menyaksikan penenggelaman bot berkenaan.

Katanya, proses itu dijalankan selepas melalui proses mahkamah.

“Kami menggunakan dinamit untuk memusnahkan dan menenggelamkan kapal berkenaan,” katanya.

Kerajaan Presiden Jokowi melaksanakan dasar tegas terhadap aktiviti penangkapan ikan haram di perairan negara itu.

Ia dijalankan sebagai langkah melindungi dan membangunkan sektor maritim negara itu.

Sebelum ini, beberapa bot nelayan asing turut diletup dan ditenggelamkan, termasuk di Kepulauan Riau.

Di samping itu, Eko Hadi berkata, bot Malaysia berkenaan adalah yang pertama diletupkan di wilayah terbabit. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 January 2015 @ 5:04 AM