GAMBAR diambil pada 5 Disember lalu menunjukkan sebuah kapal nelayan Vietnam terbakar selepas diletupkan tentera laut kerana menangkap ikan secara haram di Kepulauan Anambas.
GAMBAR diambil pada 5 Disember lalu menunjukkan sebuah kapal nelayan Vietnam terbakar selepas diletupkan tentera laut kerana menangkap ikan secara haram di Kepulauan Anambas.

Palu: Kementerian Kelautan dan Perikanan (KKP) berkata, ada ratusan kapal asing ditahan di beberapa lokasi di sekitar Indonesia selepas didapati menceroboh perairan negara itu.

Setiausaha Agung KKP, Sjarief Widjaja berkata, penangkapan kapal asing itu bukan saja dilakukan penguat kuasa kementerian itu, malah turut dibuat Tentera Laut Indonesia dan polis.

“Misalnya di Pontianak, ada 33 kapal dan di Tarempa, Riau ada tujuh kapal.

“Secara keseluruhan lebih 100 kapal ditangkap di pelbagai lokasi, termasuk di Batam, Tual dan Anambas,” katanya semalam.

Menurut Sjarief, tidak semua kapal itu sudah menjalani proses penenggelaman.

Sebahagian kapal, katanya, baru saja ditahan, manakala sebahagian lagi sedang menjalani proses pengadilan.

Setakat ini, kata Sjarief, ada tiga kapal selesai ditenggelamkan.

Kata Sjarief, untuk menenggelamkan kapal asing itu, KKP tidak boleh melakukan tindakan semberono.

“Ada beberapa pertimbangan perlu diambil, seperti lokasi sesuai supaya bangkai kapal boleh menjadi tempat ikan berkumpul.

“Jika kapalnya masih elok dan sesuai digunakan orang ramai, buat apa kami tenggelamkan? Hanya jika sudah tidak layak barulah ditenggelamkan,” katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Disember 2014 @ 7:48 AM