SUSI
SUSI

Jakarta: Kementerian Sumber Maritim dan Perikanan semalam berkata, ia akan menenggelamkan 19 lagi kapal asing yang ditangkap menangkap ikan di perairan Indonesia.

Ketua pengarah kementerian Asep Burhanuddin juga berkata, pihaknya membekukan lima syarikat perikanan tempatan kerana mengelak cukai.

Menurutnya, 19 kapal yang akan ditenggelamkan itu antara 73 kapal asing yang ditahan dan disiasat menurut undang-undang Indonesia.

“Daripada 19 kapal yang bakal ditenggelamkan, 13 berada di Pontianak, Kalimantan Barat, lima di Merauke, Papua dan satu di Belawan, Sumatera Utara,” kata Asep.

Daripada 13 yang berada di Pontianak, 11 milik nelayan Vietnam dan dua milik syarikat perikanan Thai.

Menurut Asep, bahagiannya hanya menunggu lampu hijau daripada Menteri Sumber Maritim dan Perikanan untuk menenggelamkan kapal itu.

Kementerian itu menyiasat lebih 2,000 kapal nelayan tempatan dan asing di perairan Indonesia sejak Januari lalu dan mendapati 73 daripadanya menangkap ikan secara haram.

Dalam pada itu, menteri berkenaan Susi Pudjiastuti membekukan lima syarikat perikanan kerana gagal memberi laporan tepat mengenai hasil tangkapan mereka kepada kerajaan.

“Kelima-lima syarikat itu mesti menghentikan operasi kerana lesen mereka dibekukan selepas gagal mengemukakan laporan kewangan kepada kerajaan,” katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Jun 2015 @ 10:06 AM