KAPAL pukat tunda China yang kini ditahan di pangkalan tentera laut Indonesia di Belawan.
KAPAL pukat tunda China yang kini ditahan di pangkalan tentera laut Indonesia di Belawan.

Jakarta: Tentera laut Indonesia menahan sebuah kapal pukat tunda China kerana beroperasi menangkap ikan secara haram di perairan negara itu, kata tentera semalam.

Jurucakap tentera laut Indonesia, Edi Sucipto berkata, kapal itu dipintas dua kapal perang pada Jumaat lalu selepas menerima maklumat ada sebuah kapal yang dikehendaki oleh Interpol di Argentina dikesan di perairan Aceh.

Kapal itu dan anak kapalnya dibawa ke pangkalan tentera laut di Belawan, Sumatera Utara untuk siasatan.

“Kami kini menyoal siasat kru kapal untuk mengetahui lebih lanjut kes mereka di Argentina,” kata Edi.

Ujarnya, seorang anak kapal China itu cedera di kaki akibat ditembak.

“Askar kami tidak menembak kru itu dan kemungkinan dia ditembak oleh pihak berkuasa Argentina,” jelasnya.

Kapal pukat tunda China itu dilaporkan menangkap ikan secara haram di perairan Argentina pada lewat Februari lalu.

Hubungan Jakarta dan Beijing tegang pada bulan lalu selepas kapal peronda China menghalang kapal peronda Indonesia menahan sebuah bot nelayan China yang menangkap ikan secara haram di perairan negara itu.

China mempunyai tuntutan bertindih dengan beberapa negara selepas mendakwa hampir keseluruhan wilayah di Laut China Selatan adalah miliknya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 April 2016 @ 10:36 AM