Polis mengangkat mayat mangsa yang meninggal dunia ketika bermain tenis. FOTO Zaid Salim
Polis mengangkat mayat mangsa yang meninggal dunia ketika bermain tenis. FOTO Zaid Salim
Zaid Salim


Kuala Terengganu: Warga emas rebah sebelum meninggal dunia ketika bermain tenis di gelanggang Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di Padang Hiliran, 6 petang hari ini.

Tok Kah Siang, 75, dari Taman Tasik, Wakaf Dua, Bukit Payung, Marang ke gelanggang tenis berkenaan bersama beberapa rakannya.

Rakan mangsa, Ang Yen Kim, 70, berkata, setiap minggu mereka bermain tenis di gelanggang itu bermula 5 petang hingga 7 malam setiap Ahad, Selasa dan Khamis.

"Sebelum ini dia main biasa-biasa saja dan berhenti sekiranya penat, tetapi hari ini ada rakan kami dari Pulau Pinang bermain menyebabkan dia teruja dan bermain bersungguh-sungguh.

"Dia rebah ketika mahu melakukan servis pada set kedua," katanya.

Menurutnya, mangsa yang juga pesara kerajaan tinggal bersendirian selepas kematian isteri beberapa bulan lalu manakala dua anaknya menetap di Singapura dan Australia.

Mayat Tok dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk proses bedah siasat.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan mengklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 April 2017 @ 9:46 PM