PEMAIN MBKT meraikan kejayaan muncul juara Kejohanan Futsal Majlis Bandaraya Alor Setar 2014.
PEMAIN MBKT meraikan kejayaan muncul juara Kejohanan Futsal Majlis Bandaraya Alor Setar 2014.
Oleh Faizul Azlan Razak

Kuala Terengganu: Pemain Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) Mohd Shamsul Aswadi muncul wira apabila jaringan tunggalnya membantu pasukan itu menjulang Piala Datuk Bandar Alor Setar pada Kejohanan Futsal Majlis Bandaraya Alor Setar 2014 di Gelanggang Futsal Titi Gajah, baru-baru ini.

Pada perlawanan akhir, MBKT beraksi cemerlang menundukkan juara bertahan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) 1-0 sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000, piala pusingan serta pingat kejohanan.

Selaku naib juara, MBI menerima RM1,000 manakala tempat ketiga bersama menjadi milik Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dan Kolej Tentera Udara, masing-masing meraih RM500.

Hadiah kepada pemenang disampaikan Datuk Bandar Alor Setar Datuk Mat Noh Ahmad.

Pengurus MBKT Zaidi Abdul Rahman berkata, pihaknya bersyukur kerana pasukan dibimbing Wan Adremy Indera Wan Adnan membuktikan mereka bukan jaguh kampung sebaliknya mampu menyinar di luar Terengganu.

Menurutnya, sikap pemain yang bekerja keras pada kejohanan itu selain persiapan rapi selama dua minggu sebelum kejohanan nyata berbaloi.

“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada pemain yang mempamerkan kesungguhan pada kejohanan kali pertama disertai MBKT dan sentiasa fokus dalam setiap perlawanan walaupun ditentang sengit termasuk juara bertahan MBI.

“Kejayaan ini juga hasil nasihat diberikan Datuk Bandar MBKT Datuk Adzlan Dagang yang mahukan warga kerja MBKT bukan saja cemerlang dalam tugas harian, malah dalam bidang sukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Disember 2014 @ 5:06 AM