Tok Mun yang pernah menggemparkan dunia politik tanah air apabila bertandng dalam Pilihan Raya Umum (PRU) sembilan tahun lalu. FOTO GHAZALI KORI
Tok Mun yang pernah menggemparkan dunia politik tanah air apabila bertandng dalam Pilihan Raya Umum (PRU) sembilan tahun lalu. FOTO GHAZALI KORI
Zaid Salim


Marang: Warga emas Maimun Jusoh @ Tok Mun menyifatkan sambutan hari lahirnya ke-102, semalam tidak memberi sebarang makna sejak kehilangan anak perempuan buat selama-lamanya.

Ini kerana kebiasaannya Allahyarham Huzaimah Abdullah akan mengingatkannya dengan tarikh istimewa berkenaan.

"Anak perempuan tok meninggal dunia pada 2019 lalu, kalau tidak dia yang kabor (beritahu) ke tok (hari kelahiran).

"Tok ada tiga orang anak, tapi dua orang sudah meninggal masa kecil," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Atas Tol, di sini, semalam.

Wanita yang pernah menggemparkan dunia politik tanah air apabila bertanding kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 dan ke-13 berkata, seumur hidupnya juga tidak pernah menerima sebarang hadiah sempena hari kelahirannya.

Tidak hairan apabila dia terkejut dan terharu menerima ole-ole berupa seikat pisang daripada wartawan yang dianggap sebagai hadiah harijadi.

Tok Mun yang dilahirkan pada 24 Jun 1919, berkata ole-ole berkenaan adalah hadiah pertama yang diterima sempena hari kelahirannya.

"Terima kasih sebab bagi pisang ke tok," katanya.

Tok Mun yang turut terkesan sejak negara dilanda pandemik Covid-19, berkata sekatan pergerakan yang dilaksanakan kerajaan bagi membendung penularan wabak menyebabkan perniagaan keropok kepingnya dari rumah ke rumah terjejas.

"Sekarang tok berniaga dengan kereta sendiri, kereta (Perodua) kancil, tapi tok tak pandai bawak (pandu), jadi tok upah kawan bawa (pandu).

"Jalan semua kena sekat, jadi tok jual kepada orang yang kenal dan biasa dengan tok sahaja," katanya.

Bercerita kisah silamnya, katanya, dia berkahwin pada 1931 ketika berusia 12 tahun, manakala bekas suami yang bekerja kampung ketika itu berusia 14 tahun.

Menurutnya, rumah tangga yang dibina tidak kekal lama apabila berpisah ketika berusia awal 20-an selepas dikurniakan tiga cahaya mata iaitu dua perempuan dan seorang lelaki.

"Selepas berpisah tok kahwin lagi tapi dok (tidak) kekal lama juga dan selepas bercerai kali kedua, tok tak kahwin sampai sekarang.

"Masa muda tok berniaga kain batik dan songket yang ditenun sendiri ke merata tempat termasuk Singapura dan sehingga sekarang tok masih berniaga.

"Hasil jualan tok simpan dan duit simpanan itu yang tok guna untuk bayar deposit masa bertanding pilihan raya dulu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Jun 2021 @ 5:52 PM