TOK Mun atau Maimun Jusoh, 102, tidak sabar nak ambil vaksin ketika ditemui di rumahnya di Kampung Atas Tol. FOTO Zaid Salim
TOK Mun atau Maimun Jusoh, 102, tidak sabar nak ambil vaksin ketika ditemui di rumahnya di Kampung Atas Tol. FOTO Zaid Salim
Zaid Salim


Kuala Terengganu: "Kena cucuk, kalau tidak susah nak pergi mana-mana. Penyakit ni (Covid-19) bahaya," kata Tok Mun atau nama sebenarnya, Maimun Jusoh, hari ini.

Tok Mun, 102, berkata, sebelum ini dia enggan mengambil suntikan vaksin bukan kerana anti vaksin tetapi disebabkan takut jarum.

Menurutnya, sejak dulu lagi dia tidak pernah menerima rawatan di hospital menyebabkan dia berasa takut untuk menerima suntikan.

Tok Mun yang dilahirkan pada 24 Jun 1919, berkata dia mendaftar untuk janji temu vaksin pada akhir bulan lalu dengan bantuan kenalan menerusi aplikasi MySejahtera dan tidak sabar menunggu tarikh untuk menerima vaksin.

"Kali ini tok terpaksa cucuk juga. Tok kena ambil ubat ini (vaksin), kalau tidak susah nak pergi mana-mana.

"Orang kata, kalau cucuk baru boleh pergi jalan dan buat urusan di pejabat.

"Tok memang ada nak buat urusan tanah, kalau tak cucuk tak boleh tok nak buat urusan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Atas Tol, di sini, hari ini.

Menurutnya, dia berhasrat untuk menunaikan umrah dan mengambil vaksin bagi membolehkan dia menunaikan hajat sudah lama terpendam itu.

Tok Mun mula dikenali ramai dan menjadi perhatian rakyat negara ini apabila muncul sebagai calon tertua bertanding pada PRU ke-12 (PRU-12) pada 2008 iaitu pada usia 89 tahun.

Dia kemudian sekali lagi bertanding atas tiket Bebas pada PRU-13, namun seperti PRU sebelum itu, warga emas itu hilang wang pertaruhan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Ogos 2021 @ 6:07 PM