TOK Mun ketika bertanding sebagai calon bebas
TOK Mun ketika bertanding sebagai calon bebas
Zaid Salim


Kuala Terengganu: Tok Mun yang pernah menggemparkan arena politik negara meninggal dunia hari ini.

Tok Mun atau nama sebenar, Maimun Yusof, 103 tahun yang menghidap kanser, masalah hati dan buah pinggang tahap 3 meninggal dunia sendirian di rumahnya di Kampung Atas Tol, di sini, jam 3.30 petang, hari ini.

Cucu arwah, Tuan Norazlina Tuan Lah, 51, berkata, kematian Tok Mun disedari anak saudaranya, Meriam Mamat, 72, ketika menghantar makanan petang tadi.

"Terkejut dengan keadaan itu, ibu saudara (Meriam) kemudian segera memberitahu suaminya sebelum kami semua datang ke sini untuk uruskan jasad arwah.

"Ibu saudara menghantar makanan pada sebelah pagi dan keadaan Tok biasa namun kelihatan lemah. Tok agak tidak sihat dan tiada selera makan sejak tiga bulan lalu. Bimbang keadaan itu, kami menjaganya secara bergilir-gilir.

"Malam tadi Tok meracau menyuruh saya pulang ke rumah kerana kononnya dalam rumah dipenuhi air. Tok juga meminta saya membuka tingkap rumah kerana katanya badannya terlalu panas," katanya.

Tuan Norazlina (duduk) disisi jasad Tok Mun yang meninggal dunia di rumahnya di Kampung Sungai Atas Tol. FOTO ZAID SALIM
Tuan Norazlina (duduk) disisi jasad Tok Mun yang meninggal dunia di rumahnya di Kampung Sungai Atas Tol. FOTO ZAID SALIM

Tuan Norazlina yang tinggal di Dungun dan bekerja dengan sebuah agensi swasta, berkata Jumaat minggu lalu, doktor yang melakukan pemeriksaan di rumah memaklumkan penyakit yang dialami Tok Mun.

"Tok tidak memberitahu keadaan sebenar kesihatannya dan kami ingatkan masalah tua," katanya.

Tok Mun pernah menggemparkan negara apabila bertanding dalam Pilihan Raya Umun (PRU) ke-12 pada usia 89 tahun dan PRU 13, sebagai calon Bebas.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Julai 2022 @ 7:49 PM