Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria
Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria
Saiful Affendy Sapran


Petaling Jaya: Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria hari ini secara rasmi diumum sebagai Presiden Persatuan Badminton (BAM) yang baru bagi penggal 2017/2021 selepas dipilih sebulat suara oleh ahli majlis pada Mesyuarat Agung Tahunan ke-72 badan induk itu.

Mohamad Norza menggantikan Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff yang tidak mahu mempertahankan jawatannya itu sekali gus menyaksikan BAM meneruskan tradisi pemilihan presiden tanpa ada pertandingan sejak 32 tahun lalu.

Serentak dengan itu juga, Norza pada sidang media mengumumkan untuk meletak jawatan selaku Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN) serta Presiden Persatuan Badminton Kuala Lumpur (KLBA).

Keputusannya itu bagi memberi tumpuan sepenuhnya kepada BAM.

Ahli majlis juga sebulat juara memilih Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Hussain dan Datuk Wira Lim Teong Kiat sebagai timbalan presiden baru.

Datuk Ng Chin Chai pula mengekalkan kedudukannya selaku Setiausaha Kehormat bagi penggal akan datang.

Sementara itu, pemangku presiden sebelum ini, Tan Sri Mohamed Al Amin Abdul Majid dipilih sebulat suara selaku Penasihat BAM dan Tengku Mahaleel dipilih selaku Presiden Kehormat persatuan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 April 2017 @ 1:42 PM